
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri kekal komited memastikan sektor pertanian terus menjadi enjin pertumbuhan dan pemacu ekonomi Sabah yang lebih dinamik dan berdaya tahan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sektor pertanian bukan sekadar penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negeri, malah memainkan peranan kritikal dalam menjamin keterjaminan makanan negara.
“Sektor ini menyumbang sebanyak RM12.2 bilion atau 14.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah. Maka kerajaan negeri memberi keutamaan untuk terus memperkasa bidang ini dengan pendekatan lebih strategik dan inklusif,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Ahad.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan penutupan HPPNK 2025. Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta barisan kepimpinan negeri dan persekutuan.
Hajiji berkata, sebagai negeri yang kaya dengan sumber tanah subur dan iklim tropika yang sesuai untuk pertanian, Sabah mengambil pendekatan berani dalam menyokong agenda keterjaminan makanan nasional.
Katanya, antara langkah konkrit termasuk penubuhan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah pada tahun lalu — setelah ditutup pada tahun 1981 — bagi memperkasa industri padi tempatan dan meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras kepada 30 peratus menjelang 2026 dan 60 peratus menjelang 2030.
“Langkah ini selaras dengan keutamaan Kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar yang memberi perhatian terhadap kepentingan sektor pertanian, khususnya penanaman padi dan pengeluaran beras tempatan,” katanya.
Seiring transformasi sektor agromakanan negara, Hajiji menekankan kepentingan penggunaan teknologi moden seperti Internet of Things (IoT) dan pertanian pintar (smart farming) bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran, menjana produktiviti lebih tinggi dan menarik minat golongan muda.
Deasoka