
KOTA KINABALU: Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) berjaya menganjurkan Hari Integriti dan Keselamatan SEC buat julung kalinya pada 13 dan 14 Oktober 2025, satu program dua hari yang bertujuan memperkukuh budaya integriti serta memupuk kesedaran keselamatan di tempat kerja dalam kalangan warga syarikat.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Datuk Adzmir Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEC, dan dihadiri oleh Tuan Haji Zulkifli Sulaiman, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sabah; Tuan Alexander S. Kunghi, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah; selain wakil daripada NIOSH, BOMBA, serta rakan strategik termasuk Rehabwork Physiotherapy dan HB Safety.
Turut hadir wakil daripada anak syarikat dan syarikat bersekutu SEC, iaitu Asian Supply Base (ASB) dan SEC Gas Sdn. Bhd.
Hari pertama program memberi tumpuan kepada warga kerja SEC menerusi sesi libat urus bersama SPRM dan JKKP, ikrar integriti dan keselamatan oleh kakitangan SEC, serta latihan kebakaran yang dikendalikan oleh BOMBA.
Pelbagai reruai pameran turut disediakan oleh SPRM, JKKP, pembekal PPE, Rehabwork Physiotherapy dan rakan kongsi lain bagi memberikan pendedahan praktikal mengenai amalan terbaik keselamatan industri.
Hari kedua pula melibatkan pelajar dari SM Stella Maris, Tanjung Aru, yang mengikuti sesi kesedaran bersama SPRM dan NIOSH.
Serentak dengan itu, kempen derma darah dan pemeriksaan fisioterapi asas turut dijalankan untuk kakitangan, anak syarikat, syarikat bersekutu dan pelanggan SEC.
Reruai maklumat turut dibuka bagi memberi pendedahan tentang amalan integriti dan keselamatan dalam kehidupan seharian.
Program berkenaan diselaras oleh Bahagian Audit Dalaman, Integriti & Tadbir Urus; Keselamatan, Kesihatan & Alam Sekitar; serta Strategi Korporat SEC, dengan kerjasama Kelab Sukan & Rekreasi SEC, mencerminkan semangat kerjasama dan komitmen bersama yang menjadi nadi kejayaan organisasi.
Katakan Tidak kepada Rasuah. Utamakan Keselamatan.