TAWAU: Sebanyak 30 buah rumah perkampungan atas air jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran besar yang berlaku di Kampung Sri Aman, Lorong Jade 4, Jalan Apas, di sini lewat malam tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.23 malam sebelum jentera pertama tiba di lokasi kejadian kira kira sembilan minit kemudian.
Komander Operasi, PBK I SuheizanSahak berkata, kebakaran melibatkan rumah rumah papan dan kayu yang terbakar 100 peratus.
Katanya, operasi pemadaman dijalankan secara berperingkat melibatkan kaedah Pemadaman Pertama, Kedua dan Ketiga dengan penggunaan beberapa aliran pancutan air serta sumber air terbuka dari laut.
Operasi pemadaman turut melibatkan bantuan pam angkut dan relay air daripada jentera FRT serta Water Tanker bagi memastikan bekalan air mencukupi sepanjang operasi
Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran dan menyelamatkan kira kira 300 buah rumah lain di sekitar lokasi kejadian.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.44 tengah malam dan operasi ditamatkan pada jam 3.10 pagi selepas pemeriksaan keselamatan dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lanjut.
Seramai 24 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi tersebut melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Balai Bomba dan Penyelamat Kunak serta Bomba Komuniti Kampung Titingan.
Operasi turut dibantu oleh agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sabah Electricity dan Jabatan Air.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.
