LAHAD DATU : Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Romansa Lamin, menolak dakwaan yang mengatakan beliau “orang luar” dan tidak mempunyai kaitan dengan kawasan berkenaan.
Romansa berkata walaupun beliau dilahirkan di Tawau, susur galur keluarganya berasal daripada Kampung Cocos, Segama, iaitu kampung yang dibuka sendiri oleh datuk moyangnya.
“Orang membuka Kampung Cocos itu ialah datuk moyang saya. Kubur keluarga kami masih ada di sana sehingga hari ini. Jadi tidak timbul langsung isu kononnya saya bukan anak Segama,” katanya.
Menurutnya, kerjayanya selama 30 tahun di Lahad Datu menjadikan beliau sangat memahami denyut nadi, cabaran dan keperluan masyarakat di daerah itu termasuk di Segama.
“Lebih 30 tahun saya berkhidmat di Lahad Datu. Dan saya sedia berkhidmat sepenuhnya untuk rakyat di DUN Segama. Saya bukan datang tiba-tiba. Saya datang dengan pengalaman tiga dekad dan akar keluarga yang jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program ceramah berkelompok di Taman Palm Height, malam Jumaat.
Turut hadir Senator Saraswathy Kandasami yang juga Naib Presiden PKR.
Sebelum ini terdapat pihak mempertikaikan status beliau bertanding di DUN Segama.
Segama menyaksikan pertembungan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Negeri kali ini, membabitkan Romansa (PH), Mohammad Abd Karim (Warisan), Alif Afiandy Ali (Bebas), Ehtisham Ur Ramman Maulana (Parti Impian Sabah), Norman Kasimin (Bebas) Yvonne Yong (SAPP) dan Datuk Mohammaddin Ketapi.
Romansa berkata beliau memilih untuk berkempen secara matang dan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu rakyat, termasuk masalah air, peluang ekonomi belia dan pembangunan pendidikan.
