PUTATAN: Calon GRS, Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya (SAY) optimis pengundi setempat sentiasa cakna dengan tawaran manifesto pihaknya bagi memilih kerajaan pentadbir selepas PRU DU melabuhkan tirai pada esok.
Beliau berkata, keyakinan tersebut dilahirkan dengan penerimaan positif banyak pihak terhadap manifesto parti dan aspirasi ditawarkan sepanjang kempen selama dua minggu ini.
Jelasnya, pendekatan holistik digunakan bagi mendekati pengundi sebelum ini dijangka memain peranan penting demi meneruskan agenda GRS terutamanya pelaksanaan hala tuju SMJ.2.0.
“Dengan kempen yang berakhir pada hari ini, maka hak mandat rakyat akan menjadi penentu pada pesta demokrasi PRU DU.
“Pilihlah dan nilailah prestasi sesebuah parti itu berdasarkan trek rekod dan bukannya emosi, saya berpendapat semua rakyat adalah pengundi yang bijak yang mampu menilai semua ini.
“Kami di GRS memberikan tawaran kepada semua pengundi yang berasaskan perkara yang dekat di hati dan bukannya janji bulan dan bintang, “katanya.
Beliau berkata dalam perutusan terakhir kempennya di sini, hari ini.
Mengulas kepada perkembangan perjalanan kempen yang berakhir pada hari ini (Jumaat), SAY menjelaskan beliau berpuas hati dengan komitmen semua pihak dan jentera parti dalam memenangi hati pengundi sepanjang tempoh tersebut.
“Mengenai kempen dan komitmen kami, saya bersyukur mempunyai sebuah pasukan yang sangat efisyen serta komited sepanjang kempen dua minggu ini.
“Saya menyerahkan kepada Allah SWT terhadap apa yang berlaku kerana kita sudah berusaha sebaik mungkin dalam tempoh berkempen ini.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat, khususnya parti GRS, jentera, keluarga dan sahabat andai, tanpa anda semua perkara ini tidak akan berlaku.
“Kepada para pengundi di Tanjung Keramat, jika tertarik dengan apa yang kami tawarkan selama ini dan kita akan sentiasa konsisten menyantuni anda dari semasa ke semasa, saya Shah Alfie bin Yahya, Rumah Kita, Kita Jaga,” katanya.
