KOTA KINABALU: Kumpulan Sawit Kinabalu menyumbang 2,000 tiket kepada penyokong bola sepak Sabah di Semenanjung bagi menyaksikan final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Ahad ini.
Aksi final di antara Sabah FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu penting bagi Sabah selepas 27 tahun peminat bola sepak negeri ini menunggu peluang untuk pasukan kesayangan mereka mara ke perlawanan akhir kejohanan berprestij itu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg, berkata sumbangan itu bagi memastikan penyokong Sang Badak, khususnya di Semenanjung dapat hadir untuk memberi sokongan kepada pasukan.
Katanya, sumbangan tiket masuk ke Stadium Nasional itu selaras dengan hasrat Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk melihat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah bukan saja menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri, malah dalam aspek lain juga, termasuk sukan bola sepak.
“Bagi menyemarakkan semangat kesukanan dan sokongan terhadap pasukan Sabah FC, Sawit Kinabalu mengambil inisiatif menyumbang 2,000 tiket kepada peminat bola sepak Sabah, khususnya yang berada di Semenanjung bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Disember ini.
“Menerusi inisiatif ini, kita berharap dapat menghadirkan seramai mungkin penyokong Sabah FC di Stadium Nasional nanti sebagai tanda sokongan moral kepada pasukan untuk mencipta kemenangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Sawit Kinabalu juga adalah penaja utama Sabah FC bagi musim ini dengan Victor turut dilantik sebagai Pengurus Sabah FC sejak Ogos lalu.
Victor berharap pemain Sabah FC dapat mempersembahkan permainan terbaik mereka bagi menghasilkan jaringan dan melakar sejarah kemenangan untuk Sabah.
Walaupun berdepan dengan JDT yang dilihat sebagai pasukan digeruni dan sukar ditewaskan, beliau percaya pemain Sabah FC tetap mempunyai peluang untuk mencipta kejutan.
“Inilah peluang kita untuk melakar kemenangan setelah 27 tahun Sabah tidak dapat memasuki final Piala FA. Jika berjaya, ia sudah tentu satu sejarah bagi kita, lebih-lebih lagi berdepan dengan JDT,” katanya.
Sabah FC layak ke final Piala FA musim ini selepas menewaskan Selangor FC 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada 30 November lalu.
