TAWAU: Satu mayat lelaki dipercayai gelandangan ditemui dalam keadaan telah mereput di sebuah premis kosong bersebelahan Carwash Era, Batu 15 Jalan Apas, di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam memaklumkan penemuan mayat tersebut sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Bandar Sri Indah bersama anggota jenayah IPD Tawau dikerahkan ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mayat berkenaan dikenali masyarakat setempat dengan panggilan Nordin, berusia lingkungan 30-an, dan dipercayai seorang gelandangan.
“Mayat ditemui dalam keadaan meniarap seolah-olah sedang tidur di dalam sebuah kedai kosong yang tidak berpenghuni. Pemeriksaan awal pada tubuh badan si mati tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau luka fizikal.”
“Hasil pemeriksaan turut mendapati tempoh kematian dianggarkan lebih kurang seminggu sebelum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mayat berkenaan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Tawau sebelum dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian sebenar.
ACP Jasmin berkata, siasatan lanjut masih diteruskan.
