SIPITANG: Ketua Bahagian Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) P.178 Sipitang, Sani Miasin, meneruskan gerak kerja politiknya di peringkat akar umbi dengan mengadakan dua pertemuan santai bersama masyarakat di Kampung Lokpon, Weston Beaufort dan Kampung Sungai Bubus, Sipitang bagi memperkukuh sokongan terhadap perjuangan parti.
Dalam pertemuan di Kampung Lokpon, Sani berkata sesi itu bertujuan memperkenalkan visi, misi dan manifesto KDM kepada penduduk kampung di samping mendengar keluhan masyarakat setempat yang sering terpinggir daripada arus pembangunan.
“Penduduk di sini menyuarakan harapan agar nasib mereka lebih terbela dan pembangunan yang dijanjikan tidak lagi sekadar di atas kertas. Kami mengambil maklum setiap permasalahan yang dibangkitkan untuk dibincangkan bersama penyelaras DUN Lumadan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa seramai 58 penduduk kampung telah mendaftar sebagai ahli baharu KDM dan menyatakan sokongan penuh terhadap perjuangan parti di DUN Lumadan serta kawasan Parlimen Sipitang.
Sebelum menghadiri perjumpaan tersebut, Sani sempat menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid Nurul Iman Weston Beaufort dan beramah mesra dengan jemaah yang hadir.
“Saya amat terharu dengan sambutan mesra masyarakat Weston yang begitu peramah dan mengalu-alukan kehadiran kami walaupun dalam masa singkat,” ujarnya.
Sani turut meluangkan masa menghadiri pertemuan santai bersama keluarga dan penduduk di Kampung Sungai Bubus, Sipitang, bagi meneruskan agenda mendekati rakyat di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, perjumpaan ringkas namun bermakna itu memberi ruang untuk bertukar pendapat dan memahami aspirasi masyarakat luar bandar.
“Walaupun pertemuan ini sederhana, ia amat bermakna dan memberi kesan besar dalam memperkukuh semangat perjuangan. Inilah platform terbaik untuk kita menjelaskan matlamat perjuangan KDM demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Sani menegaskan bahawa KDM terus komited memperjuangkan isu kesejahteraan rakyat, termasuk peluang ekonomi, pembangunan prasarana dan peningkatan taraf hidup di kawasan luar bandar.
Beliau turut menyeru agar masyarakat terus bersatu dan memberi kepercayaan kepada KDM untuk membawa perubahan politik yang matang dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.
1.Sani (duduk, tengah) bersama ahli baharu KDM di Kg Lokpon
