
SEMPORNA : Sebanyak 23 kapal layar antarabangsa berlabuh di Jelly Sea Resort sempena Sail Malaysia Passage to the East Yacht Rally 2025 (Sabah Chapter) yang dianjurkan di sini hari ini.
Acara pelayaran itu dianjurkan oleh Koperasi Pelancongan North Borneo Semporna Berhad dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), sekali gus menjadikan Semporna antara destinasi utama persinggahan pelayar dari seluruh dunia.
Pengerusi koperasi, Haji Kerino Jelani, berkata program ini bukan sahaja mempromosikan keindahan laut dan pulau-pulau Semporna, malah memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat melalui sektor pelancongan koperasi.
“MYANGKASA Travel & Tours Sdn Bhd turut memperkenalkan pakej Kerino Reef Coral Planting selama tiga hari dua malam yang berkonsepkan pemuliharaan laut dan pelancongan berasaskan komuniti bersama rakan strategik One Ocean Empire PLT,” katanya.
Kemeriahan acara turut diserikan dengan pameran serta jualan Batik Sabah rekaan khas pereka batik tempatan, Yuslan Jafri, untuk komuniti pelayar yang hadir.
Kerino turut merakamkan penghargaan kepada Managing Director Sail Malaysia, Tuan Sazli Kamal Basha atas kelancaran pengurusan acara serta kepada Dato’ Seri Tengku Dr Zainal Adlin Tengku Mahamood yang memperkenalkan program itu kepada koperasi.
Beliau berkata, kerjasama ini diyakini mampu mengukuhkan lagi kedudukan Semporna sebagai destinasi pelancongan maritim unggul serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan marin dan pelancongan lestari.