
KOTA KINABALU: Penganjuran Sabah Moto Day 8.0 bukan sekadar acara hiburan apatah lagi “lawak” seperti diperkatakan sesetengah pihak, sebaliknya menjadi medan besar yang menghimpunkan suara, jiwa dan aspirasi belia permotoran di Borneo.
Pengerusi Skuad Antidadah Negeri Sabah merangkap Pengerusi Bersama Sabah Moto Day 8.0, Datuk Haji Mazlan @ Joehari Manan berkata, program berkenaan sudah memasuki edisi kelapan dengan rekod penyertaan lebih 60,000 motosikal dari Sabah, Sarawak, Labuan, Brunei, Kalimantan dan Semenanjung Malaysia.
“Puluhan ribu belia hadir setiap tahun, ini bukti jelas bahawa program ini diterima baik. Ia menjadi salah satu platform belia terbesar di rantau ini, yang bukan hanya mempromosi budaya permotoran, malah menolak gejala negatif seperti lumba haram dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mazlan menegaskan, tuduhan yang menyifatkan acara itu sebagai “lawak” mencerminkan ketidakfahaman terhadap objektif sebenar Sabah Moto Day.
Menurutnya, program itu dijalankan dengan kerjasama rapat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Skuad Antidadah, selain memberi peluang kepada belia mendekati institusi kewangan seperti KWSP dan BSN untuk memahami kepentingan menabung serta mengurus kewangan.
“Sabah Moto Day turut membuka ruang kepada usahawan muda dalam bidang automotif, menyuburkan perpaduan kaum, di samping menyampaikan mesej sosial yang positif,” katanya.
Beliau menegaskan, kehadiran Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang merasmikan acara, mengumumkan bantuan caruman bernilai RM600,000 kepada 11,000 pemandu e-hailing di Sabah, memimpin doa serta menzahirkan solidariti untuk Allahyarhamah adik Zara Qairina, adalah bukti kukuh bahawa program itu bukan sekadar hiburan semata-mata.
“Ini medan yang menzahirkan empati sosial, kesedaran dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap belia,” katanya.
Mengulas perbandingan dengan program belia di Sarawak, Mazlan menyifatkannya tidak adil kerana kerajaan negeri sentiasa menyediakan pelbagai platform pembangunan belia mengikut segmen berbeza.
“Selain program santai seperti Moto Day, Sabah juga ada inisiatif pembangunan kapasiti belia seperti Felo SMJ, Pidato Piala Ketua Menteri dan Dewan Undangan Belia Sabah. Ia membuktikan pendekatan Sabah adalah menyeluruh — merangkumi hiburan, ekonomi, sosial dan kepimpinan,” katanya.
Mazlan mengakui terdapat kelemahan dalam pelaksanaan, khususnya aspek kawalan dan kebersihan, namun penganjur sudah mengambil langkah pembaikan.
“Berbeza dengan mereka yang hanya tahu mengkritik dari jauh, kami turun bekerja, membaiki dan membina. Jika benar peduli dengan belia, turunlah bersama anak muda, jangan hanya menulis di media sosial sambil memperlekeh usaha yang sedang berjalan di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, kritikan sebegitu hanya menggambarkan ketandusan modal politik sesetengah pihak sehingga sanggup menjadikan acara belia sebagai bahan cercaan.
“Sabah Moto Day akan terus menjadi simbol perpaduan, kesedaran dan aspirasi belia Sabah. Yang mahu mencari salah boleh terus berbuat demikian, tetapi kerja membina masa depan belia tetap akan diteruskan kerajaan negeri bersama penganjur dan ribuan anak muda yang percaya pada program ini,” katanya.