KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah menyeru NGO dan badan kebajikan untuk melaksanakan pendekatan berasaskan bukti bagi memastikan kelestarian kewangan dan impak lebih berkesan dalam perkhidmatan sosial.
Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Maria Chong, berkata banyak NGO berdepan cabaran dana dan isu kepercayaan, sekali gus menjejaskan kemampuan mereka untuk mendapatkan pembiayaan yang lebih besar.
“Data yang menunjukkan keberkesanan program akan meyakinkan penyumbang bagi sokongan masa hadapan,” katanya ketika merasmikan Forum Jaringan Perkhidmatan Sosial 2025 anjuran Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) dengan kerjasama UMS–UNICEF C4D.
Chong turut menggesa NGO menghentikan persaingan dalaman dan memperkuat kolaborasi strategik, selain menarik penglibatan sukarelawan muda melalui program mentorship.
Beliau mengenal pasti tiga isu utama yang memerlukan tumpuan bersama: penuaan aktif dan sihat, keibubapaan positif serta perlindungan kanak-kanak, dan pemerkasaan OKU.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri, menyeru peserta forum meningkatkan kerjasama dalam koordinasi sukarelawan dan pembangunan program komuniti.
Forum itu menghimpunkan sekitar 120 peserta daripada pelbagai NGO, agensi kerajaan dan rakan pembangunan.
