KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah meningkat daripada RM77.80 bilion pada tahun 2020 kepada RM84.30 bilion pada tahun 2024, iaitu tertinggi pasca COVID-19.
Menurut beliau, ini mencerminkan keberkesanan dasar fiskal oleh Kerajaan ini khususnya dari aspek pengurusan hasil yang berhemat dan sistem kutipan yang efisien.
“Ia mempamerkan daya tahan ekonomi negeri meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar berikutan ketegangan geopolitik, ketidaktentuan pasaran komoditi serta kelembapan ekonomi antarabangsa.
“Bagi tahun 2025 dan 2026, momentum pertumbuhan negeri dijangka terus mengukuh melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi, dengan unjuran peningkatan sekitar 1.5 peratus hingga 2 peratus,” katanya pada Konvensyen Penjawat Awam Sabah 2025 di SICC hari ini.
Selain itu, Kerajaan ini juga berjaya mengawal kadar inflasi secara tersusun di mana kadar inflasi negeri pada tahun 2024 adalah pada paras 1.2 peratus, iaitu lebih rendah berbanding kadar inflasi nasional iaitu 1.8 peratus.
Katanya, pencapaian ini juga hasil inisiatif rangsangan Kerajaan, contohnya pakej Skim Pinjaman Kredit Mikro untuk mengupayakan usahawan kecil dan sederhana dengan jumlah pinjaman bernilai RM2.37 juta kepada 1,210 permohonan setakat ini.
Melangkah ke Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang akan bermula tahun 2026 hingga tahun 2030, Hajiji berkata Sabah kekal sebagai antara negeri yang menerima peruntukan pembangunan tertinggi sebanyak RM6.9 bilion bagi tahun 2026 dan dijangka mempercepat pertumbuhan sosioekonomi negeri.
Manakala, Kabinet Negeri Sabah pada 4 Jun, 2025 meluluskan siling perbelanjaan pembangunan di bawah RMK13 sebanyak RM12.02 bilion, merangkumi 1,173 program dan projek pembangunan, iaitu peruntukan pembangunan tertinggi dalam sejarah negeri Sabah, katanya.
Hajiji berkata dalam memastikan kecekapan penyampaian perkhidmatan, Kerajaan telah membangunkan polisi Amalan Baik Peraturan yang dirangka untuk meningkatkan kualiti peraturan serta menghapuskan peraturan tidak efektif terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Sepanjang lima tahun ini, sebanyak 48 Rang Undang-Undang (RUU) pindaan dan baharu diperkenal untuk memastikan objektif tersebut tercapai,” katanya.
Bagi memantapkan lagi strategi pengukuhan integriti, Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS) telah ditubuhkan pada 26 Julai, 2022 untuk menggalas tanggungjawab pematuhan integriti.
Selain itu, pendigitalan perkhidmatan juga menjadi teras bagi penyampaian perkhidmatan yang lebih efektif dan efisien, katanya sambil menambah untuk itu, Sabah Data Integration and Interchange Platform (Sabah DIIP) telah dibangunkan di dalam Pelan Strategik Pendigitalan Kerajaan Negeri.
“Di samping itu juga, Kerajaan telah mencatatkan lebih 10,000 akaun aktif platform Google Workspace yang disediakan kepada kakitangan Kerajaan untuk mempertingkat kualiti kesalinghubungan dan produktiviti penjawat awam.
“Sehubungan itu, sebanyak 290 buah projek sistem aplikasi dibangunkan dan dilaksana di seluruh negeri, manakala 53 lagi Projek Pendigitalan Perkhidmatan Awam sedang giat dilaksanakan ke arah transformasi digital,” katanya.
Dalam tempoh lima tahun memegang tampuk Kerajaan Negeri, Hajiji berkata pelaksanaan pelan pembangunan Hala Tuju SMJ 1.0 yang merangkumi pelbagai sektor dalam pembangunan ekonomi negeri, mencatatkan kemajuan dan kejayaan yang boleh dianggap sebagai diluar dugaan.
Dalam sektor pertanian, misalnya, antara kejayaan yang dicapai ialah pelaburan bernilai RM620 juta dalam penanaman kelapa dan industri hiliran oleh syarikat Linaco Resources Sdn Bhd.
“Prestasi pelaburan negeri Sabah mencerminkan keyakinan di mata pelabur terhadap Kerajaan dengan kapasiti perkhidmatan awam sebagai pemboleh daya. Sejak tahun 2021 hingga suku kedua tahun ini, sektor pembuatan mencatatkan kemasukan pelaburan berjumlah RM24.9 bilion daripada 87 pelabur asing dan domestik,” katanya.
Kataya, pelaburan bernilai tinggi itu termasuk RM4.29 bilion daripada syarikat SK Nexilis, RM3.43 bilion oleh SBH Kibing Solar, selain Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd, yang mempunyai tiga fasa pelaburan dimana Fasa 1 bernilai RM6.59 bilion.
PETRONAS juga telah membuka operasi di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), menunjukkan pelaburan ke dalam negeri ini tidak hanya tertumpu kepada pelaburan domestik malah juga pelabur antarabangsa, katanya.
Katanya lagi, pelaburan-pelaburan ini turut mendatangkan keuntungan kepada rakyat keseluruhan dengan lebih 38 ribu peluang pekerjaan diwujudkan untuk anak-anak Sabah.
Antara kejayaan penting kerajaan dalam sektor minyak dan gas adalah persepakatan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS pada 7 Disember 2021 yang menandakan era baharu penglibatan Negeri Sabah dalam industri ini.
Hasilnya, Sabah Energy Corporation (SEC) telah dilantik sebagai pembekal dan pengangkut gas utama dan kini mempunyai kapasiti gas domestik melebihi 250 juta kaki padu sehari, dengan hasil keseluruhan industri dijangkakan melebihi RM2.5 bilion setahun, menjadikan sektor ini antara penyumbang utama kepada hasil negeri, katanya.
SMJ Energy Sdn Bhd, syarikat milik penuh kerajaan Sabah, pula yang pada mulanya hanya menerima suntikan dana terhad, kini melonjak nilai kepada RM5 bilion dalam tempoh 3 tahun dengan aset RM4.9 bilion dan keuntungan RM307 juta, ujar beliau.
Manakala, dalam sektor pelancongan, katanya Sabah telah mencatatkan 10.67 juta orang pelancong dan jumlah perbelanjaan mencecah RM23.42 bilion pada tahun 2021 hingga 2025.
Potensi pelancongan yang besar mendorong pembangunan berasaskan pelancongan di negeri ini oleh syarikat ternama seperti Hotel Sheraton Kota Kinabalu, Club Med Borneo Kuala Penyu, Inter-Continental Hotel Papar, Hilton Garden Inn Resort Tuaran, Hotel Hyatt Centric Kota Kinabalu dan Hotel Citadines Waterfront Kota Kinabalu, katanya.
“Selain itu, dengan peningkatan kepada 207 penerbangan domestik dan 126 penerbangan antarabangsa di KKIA setiap minggu yang merupakan bukti Sabah terus menjadi tarikan pelancong khususnya dari Negara Brunei, China, Indonesia, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Taiwan dan Vietnam.
“Kerancakan sektor pelancongan turut membuka peluang pekerjaan kepada lebih 360 ribu orang sejak tahun 2023 melalui pemeliharaan dan pemuliharaan tapak bersejarah, naiktaraf dan pembinaan fasiliti rekreasi serta pengindahan bandar yang turut dinikmati bersama oleh masyarakat setempat,” katanya.Hajiji berkata kerajaan konsisten menjamin peluang pendidikan kepada anak-anak Sabah untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.
Beliau berkata peruntukan tabung pendidikan di negeri Sabah telah melonjak drastik untuk tempoh lima tahun ini melalui pelbagai platform tajaan pelajaran dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM1.02 billion.
Peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah sahaja telah menyaksikan peningkatan tiga kali ganda pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan jumlah penajaan sebanyak RM145 juta dan memanfaatkan seramai 12,763 orang pelajar, katanya.
Baru-baru ini, berikutan keputusan besar mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu atau Unified Examination Certificate (UEC), Kerajaan Negeri telah menawarkan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah kepada 37 pelajar dengan kelayakan, katanya.
Beliau berkata Kerajaan juga telah memperuntukkan RM4.89 bilion khusus untuk menguruskan infrastruktur terutamanya jalanraya di negeri Sabah yang panjangnya telah meningkat kepada 22,858 kilometer pada tahun lalu berbanding 21,876 kilometer pada tahun 2021.
Bagi mengatasi masalah bekalan air, Hajiji berkata Loji Rawatan Air telah bertambah kepada 90 buah pada 2024, berbanding 85 buah pada 2021; yang telah meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat daripada 1,505 juta liter sehari kepada 1,630 juta liter sehari.
Disamping itu, beberapa buah projek sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap pada tahun ini, seperti Projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II, Naik Taraf Loji Rawatan Air Beluran, Naik Taraf Loji Rawatan Air Kanibongan dan Kasigui Urgent Water Supply Scheme (UWSS), manakala 18 buah projek bakal siap pada tahun hadapan dengan pembiayaan pinjaman bebas faedah berjumlah RM320.25 juta daripada Kerajaan Persekutuan, katanya.
Untuk bekalan elektrik, beliau berkata Majlis Tenaga Negeri Sabah telah meluluskan 11 buah projek yang melibatkan 1,219 megawatt kapasiti yang dijangka siap menjelang tahun 2031.
