
PENAMPANG: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri bercadang memberi pendidikan percuma buat pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi milik kerajaan negeri iaitu University College Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS).
Selain itu, Kerajaan Negeri juga berhasrat memperkenalkan dasar subsidi pinjaman pendidikan khususnya pinjaman PTPTN dan Yayasan Sabah, agar beban hutang pelajar dapat diringankan.
“Inisiatif ini akan memanfaatkan lebih 100,000 orang peminjam. Saya optimis, dasar ini praktikal untuk dilaksanakan kerajaan negeri sesuai dengan kedudukan kewangan kerajaan pada masa akan datang.
“Inilah bukti kesungguhan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memastikan lebih banyak anak Sabah dibantu disamping memastikan akses pendidikan sampai kepada para pelajar.
“Sebab itu kerajaan negeri memberi penekanan serius kepada soal pendidikan dan pembangunan modal insan kerana kita yakin golongan muda merupakan cerminan kepada masa hadapan negeri Sabah yang tercinta,” katanya dimajlis Konvensyen Mahasiswa Sabah di Dewan KDCA di sini hari ini.
Ketua Menteri berkata sejak diberikan amanah untuk mengemudi negeri Sabah, kerajaan pimpinan beliau telah memberi penumpuan serius terhadap pendidikan dan pembangunan modal insan.
Ini diterjemahkan dalam Hala Tuju SMJ, sebuah pelan pembangunan yang inklusif dan komprehensif yang terbukti berjaya membawa Sabah membangun dengan signifikan, katanya.
“Sejak tahun 2021, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM1.3 bilion dalam bidang pendidikan. Jumlah ini merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah Sabah, menandakan komitmen tinggi kerajaan terhadap anak-anak muda.
“Lebih 14 inisiatif pendidikan diperkenalkan, antaranya Bantuan one-off sebanyak RM600 kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pelajaran ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan melalui program GRS-SubFly, selain bantuan sebanyak RM300 melalui inisiatif SENTOSA untuk pelajar yang belajar dalam negeri.
Kerajaan Negeri juga telah menyediakan dana biasiswa tertinggi sejak merdeka iaitu RM136 juta pada tahun 2025 yang telah memanfaatkan ribuan pelajar di pelbagai peringkat pengajian, katanya sambil menambah Kerajaan Negeri turut menubuhkan
Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi membantu pelajar yang menghadapi cabaran kewangan.
“Semua ini dapat dilaksanakan kerana kerajaan negeri telah berjaya meningkatkan hasil negeri ke tahap tertinggi dalam sejarah. Pendapatan negeri Sabah meningkat kepada hampir RM7 bilion,” katanya.
Selain penekanan kepada pendidikan, Kerajaan Negeri juga mengutamakan kebajikan rakyat melalui pelbagai program di bawah inisiatif SMJ antaranya pemberian Rumah Mesra SMJ secara percuma untuk golongan miskin tegar dan miskin, inisiatif Sentuhan
Kasih Rakyat (SYUKUR) iaitu bantuan bulanan sebanyak RM300 selama 12 bulan kepada 100,000 penerima yang dilaksanakan bermula tahun ini.
Ketua Menteri yakin rakyat Sabah terutamanya 970,000 pengundi muda akan membuat pilihan yang bijak pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) nanti. Hajiji berkata PRN17 amat penting kerana ia akan menentukan kesinambungan pembangunan negeri Sabah di bawah GRS.
“Masa depan Sabah terletak di tangan anda. Jangan sia-siakan peluang ini. Sabah tidak lagi boleh ketinggalan. Kita ada potensi yang besar untuk menjadi negeri maju dan berjaya. Inilah masanya, inilah ketikanya,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan GRS telah membuktikan keupayaan dengan rekod pencapaian dalam pelbagai bidang pendidikan, ekonomi, kebajikan, pelaburan, dan juga pengurusan hasil negeri.
“Buatlah pilihan terbaik, yang menjamin kesinambungan pembangunan, kestabilan politik, dan kesejahteraan rakyat.
PRN kali ini merupakan peluang keemasan kita untuk
memilih sebuah kerajaan yang kuat dan yang paling penting kerajaan yang didominasi oleh parti lokal.
“Jangan lagi kita mengulangi kesilapan sebelum ini. Kononnya mahukan perubahan, namun lain pula jadinya. Pembangunan dan kemajuan negeri terencat.
“Banyak projek pembangunan terbengkalai disebabkan dasar yang lemah dan tidak terancang. Akhirnya, kita semua yang menerima kesannya,” katanya
Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri berjaya meletakkan Sabah pada landasan ekonomi yang kukuh dan pada suku pertama 2025, Sabah berjaya mencatatkan kemasukan pelaburan ketiga tertinggi di Malaysia sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya untuk anak muda Sabah.
“Statistik terkini membuktikan kadar pengangguran negeri berjaya diturunkan daripada 8.2 peratus pada tahun 2020 kepada hanya 6.2 peratus pada suku kedua 2025. Ini bukan sekadar angka, tetapi realiti yang menunjukkan ramai anak muda Sabah kini mempunyai akses lebih baik kepada pekerjaan yang stabil dan berpendapatan baik,” katanya.
Mengenai usul-usul yang diluluskan dalam Konvensyen Mahasiswa yang dihadiri oleh 1,000 mahasiswa itu, Hajiji meminta agar ianya dikemukakan kepada Kerajaan Negeri secepat mungkin untuk perhatian serius.