KOTA KINABALU. Kerajaan Sabah hari ini membentangkan Belanjawan Negeri 2026 berjumlah RM6.402 bilion dengan anggaran lebihan RM28 juta pada sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah.
Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata belanjawan bertema Memacu Pembangunan Kesejahteraan Rakyat Diutamakan itu memberi penekanan kepada pembangunan inklusif dan pengukuhan kedudukan fiskal negeri. Daripada jumlah keseluruhan, RM5.202 bilion diperuntukkan untuk Perbelanjaan Mengurus manakala RM1.2 bilion disalurkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan.
Menurut Masidi, kerajaan negeri mengunjurkan Anggaran Hasil 2026 sebanyak RM6.430 bilion yang merangkumi Hasil Cukai RM2.771 bilion, Hasil Bukan Cukai RM2.348 bilion termasuk royalti petroleum sebanyak RM1.075 bilion serta Terimaan Bukan Hasil RM1.311 bilion. Beliau menjelaskan anggaran hasil sedikit berkurangan berbanding tahun sebelumnya berikutan harga petroleum mentah berada di bawah paras USD65 setong dan pendekatan berhemat diperlukan bagi mengekalkan kestabilan fiskal.
Bagi Perbelanjaan Pembangunan, kerajaan memperuntukkan RM1.865 bilion yang terdiri daripada RM1.468 bilion peruntukan negeri dan RM397.21 juta melibatkan pinjaman serta bayaran balik persekutuan. Sebanyak RM996.47 juta atau 67.9 peratus diagihkan kepada sektor ekonomi, RM345.77 juta atau 23.56 peratus kepada sektor sosial manakala RM125.40 juta atau 8.54 peratus diberikan kepada sektor pentadbiran am.
Peruntukan emolumen bagi gaji penjawat awam negeri berjumlah RM936.73 juta yang meningkat susulan pelaksanaan pelarasan gaji baharu dan pengambilan jawatan tambahan. Perbelanjaan berulang dicatatkan sebanyak RM2.22 bilion yang meliputi bekalan perkhidmatan serta program sosial dan pentadbiran agensi kerajaan. Sebanyak RM2.045 bilion turut diperuntukkan sebagai Perbelanjaan Khas melibatkan subsidi, pemberian antarajabatan, pengurusan loji air dan program pertanian.
Masidi dalam pembentangannya turut memaklumkan kejayaan kerajaan merapatkan jurang antara perbelanjaan mengurus dan pembangunan daripada 86 peratus pada 2024 kepada 78 peratus pada 2026. Kerajaan negeri juga komited meningkatkan kutipan hasil melalui kaedah harga rujukan Cukai Jualan Negeri petroleum yang bermula Oktober 2025 selain memperkukuh usaha mengatasi ketirisan hasil.
Beliau menambah keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak Pemberian Khas empat puluh peratus kepada Sabah memberi keyakinan baharu terhadap usaha menuntut hak negeri di bawah Perlembagaan.
Speaker Dewan Datuk Seri Kadzim M. Yahya kemudian menangguhkan persidangan dan perbahasan belanjawan akan bersambung Isnin, 15 Disember.
