
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sekali lagi mengalu-alukan kehadiran MV Doulos Hope ke perairan Sabah dengan misinya untuk berkongsi ilmu pengetahuan serta menyatukan orang ramai demi tujuan bersama.
“Kami berasa gembira dapat menjadi tuan rumah sekali lagi sejak kunjungan terakhir anda ke sini dua tahun lalu. Setiap kali Doulos berlabuh di perairan kita, ia membawa satu keterujaan, dan kali ini juga tidak terkecuali. Ia merupakan acara yang dinanti nantikan oleh ramai orang,” kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Bagi ramai orang di seluruh dunia, di mana sahaja Doulos Hope berlabuh, kapal ini menjadi simbol komitmen bersama kita untuk menyebarkan ilmu dan memupuk harapan.
“Saya amat tersentuh dengan matlamat anda untuk berkongsi ilmu dan harapan yang tidak ternilai ini dengan komuniti di setiap pelabuhan yang anda singgahi. Tiada yang lebih bermakna selain hakikat bahawa Doulos Hope menghayati nilai ini melalui literasi dan pendidikan,” katanya pada majlis pembukaan rasmi di atas kapal MV Doulos Hope di Jeti Selatan, Pelabuhan Kota Kinabalu hari ini.
Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.
Ketua Menteri berkata inisiatif Doulos Hope memainkan peranan penting dalam mempromosikan literasi, pertukaran budaya dan penglibatan masyarakat, di samping memastikan bahan bacaan dapat diakses di mana sahaja kapal itu berlabuh adalah amat menggalakkan.
“Koleksi buku anda, yang merangkumi pelbagai budaya dan bahasa, telah banyak meningkatkan pemahaman budaya serta menggalakkan pertukaran dalam kalangan pengunjung.
“Perjalanan Doulos Hope menjadi peringatan yang kuat tentang impak positif yang dapat kita capai apabila kita bersatu dalam mengejar ilmu dan harapan,” katanya.
Kapal tersebut, yang akan berlabuh di sini selama tiga minggu, mempunyai kru antarabangsa yang terdiri daripada lebih 100 sukarelawan dari lebih 30 negara, dan ini menjadi bukti kepada pencapaian yang mampu diraih melalui perpaduan dalam kepelbagaian bagi merapatkan jurang perbezaan budaya, kaum dan kepercayaan, katanya.
Hajiji berharap kru yang diketuai oleh Pengarah Nidhin Sebastian dan Kapten Graeme Bird akan mengambil peluang untuk menerokai tarikan-tarikan di Sabah serta merasai keramahan dan kepelbagaian rakyatnya.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Doulos Hope sepanjang lawatannya ke Kota Kinabalu serta selamat meneruskan perjalanan ke destinasi berikutnya,” katanya.