
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perikanan 1985 (Pindaan) 2025 perlu menjadi titik perubahan dalam mengembalikan kuasa autonomi Sabah bagi merancang pembangunan industri perikanannya, sejajar dengan kedudukan negeri itu sebagai penyumbang utama hasil laut negara, kata Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobby Suan menegaskan
Menurutnya, meskipun Sabah menyumbang hampir 25 peratus pengeluaran ikan negara, negeri itu masih beroperasi dengan tangan terikat kerana kuasa perundangan dan dasar perikanan kekal tertakluk di bawah Kerajaan Persekutuan.
“Sejak Ordinan Perikanan Sabah 1963 dimansuhkan pada 1972 dan diganti dengan Akta Perikanan 1985, Sabah tidak lagi berkuasa merangka dasar sendiri. Lebih ironik, Jabatan Perikanan Malaysia tidak beroperasi di Sabah, menjadikan negeri ini seolah-olah ‘pengeluar utama tanpa kawalan’ terhadap sektor strategiknya,” katanya ketika membahaskan RUU itu di Dewan Negara pada Selasa.
Bobby berkata, kelemahan kuasa ini memberi kesan besar terhadap pembangunan infrastruktur perikanan Sabah. Setakat ini, negeri itu hanya memiliki satu kompleks pendaratan ikan rasmi di Kota Kinabalu, manakala kawasan penting lain seperti Kudat, Sandakan, Semporna, Papar dan Sipitang kekal tidak mencukupi.
“Jika dibandingkan, Semenanjung memiliki 48 kompleks pendaratan ikan dan Sarawak lima. Jurang ini menyumbang kepada ketirisan hasil dengan laporan menunjukkan kerugian ratusan juta ringgit setiap tahun akibat pendaratan tidak rasmi dan penyeludupan,” jelasnya.
Beliau menegaskan situasi itu bercanggah dengan kedudukan Sabah sebagai ‘basket protein laut’ negara, apatah lagi negeri itu sudah mencapai tahap SSL makanan laut melebihi 100 peratus.
Mengulas pindaan dalam RUU tersebut, Bobby menyokong langkah memperluas larangan penggunaan bom, racun dan arus elektrik yang kerap menjejaskan ekosistem laut Sabah, khususnya di pantai timur.
“Subseksyen 13(3A) yang melarang permohonan lesen selama lima tahun selepas pembatalan lesen adalah tindakan berani. Ia memberi mesej jelas bahawa pelaku jenayah marin tidak boleh lagi dipandang ringan,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan klausa baharu yang memperkukuh kuasa Ketua Pengarah Perikanan dalam mendepani isu pemindahan kapal (transhipment) serta pengawasan laut lepas menggunakan teknologi digital.
Dalam pada itu, Bobby menegaskan pindaan ini perlu disusuli dengan pengiktirafan terhadap struktur pentadbiran Sabah, termasuk penurunan kuasa mutlak kepada Jabatan Perikanan Sabah untuk menggubal perundangan subsidiari.
Katanya, cadangan penubuhan Majlis Perikanan Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II dan dianggotai Ketua Menteri Sabah, Premier Sarawak serta kementerian berkaitan, mampu menjadi platform strategik menyelaras dasar dan peruntukan secara adil.
“Dengan garis pantai sepanjang 1,743 kilometer dan Zon Ekonomi Eksklusif yang kaya sumber, Sabah berpotensi menjadi hab eksport hasil laut bernilai tinggi rantau ini. Namun, hari ini dianggarkan 70 peratus hasil laut Sabah dihantar keluar tanpa diproses, menyebabkan peluang pekerjaan dan nilai tambah terlepas,” katanya.
Bobby menegaskan sektor perikanan bukan sahaja penyumbang ekonomi, malah berkait rapat dengan keterjaminan makanan negara.
“Walaupun Sabah pengeluar terbesar, harga ikan tempatan terus melonjak kerana dasar lama menafikan hak Sabah merancang pengurusan perikanannya sendiri. Jika pindaan ini disertai desentralisasi kuasa dan pelaburan infrastruktur strategik, ia mampu mengubah landskap ekonomi perikanan negara,” katanya.
Mengakhiri perbahasannya, Bobby menyatakan sokongan penuh terhadap RUU Akta Perikanan 1985 (Pindaan) 2025 dan berharap ia menjadi batu loncatan untuk memulihkan semula hak Sabah dalam merancang masa depannya.