
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 yang menjadikan pendidikan menengah sebagai wajib untuk semua anak Malaysia perlu disertai pendekatan berempati, khususnya terhadap cabaran sosioekonomi rakyat Sabah, kata Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey Suan.
Beliau menegaskan, meskipun pindaan itu progresif dan berani, pelaksanaannya tidak boleh dilihat hanya dari sudut hukuman ke atas ibu bapa, sebaliknya mesti diperkukuh dengan sokongan menyeluruh.
“Dengan kadar kemiskinan mutlak Sabah pada 2022 masih 19.5 peratus dan median pendapatan isi rumah hanya RM5,745 berbanding RM7,352 di peringkat nasional, dasar pendidikan wajib mesti dilaksanakan dengan penuh empati,” katanya ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Negara pada Khamis.
Bobbey turut membangkitkan isu infrastruktur sekolah di Sabah dan Sarawak yang masih jauh ketinggalan.
Beliau menegaskan lebih 1,000 sekolah daif perlu ditangani segera kerana keberkesanan dasar pendidikan wajib akan terjejas sekiranya pelajar berdepan kemudahan tidak selamat atau jarak sekolah yang terlalu jauh.
Selain itu, beliau menekankan cabaran keluarga berpendapatan rendah yang berdepan peningkatan kos sara hidup. Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (2023), perbelanjaan pendidikan isi rumah di Sabah meningkat hampir 12 peratus setiap tahun.
“RUU ini mesti diiringi dengan insentif tambahan agar keluarga tidak perlu memilih antara menghantar anak ke sekolah atau memenuhi keperluan asas harian,” katanya.
Bobbey juga menyentuh soal keselamatan pelajar yang menurutnya perlu dijadikan komponen teras dalam pelaksanaan pendidikan wajib.
Merujuk kajian UNICEF pada 2020 yang mendapati lebih 70 peratus pelajar di Malaysia pernah mengalami buli, beliau menggesa Kementerian Pendidikan mempertimbangkan reformasi keselamatan termasuk mewujudkan Akta Anti-Buli Sekolah, menempatkan kaunselor berlesen di setiap sekolah serta membangunkan sistem aduan bebas yang benar-benar melindungi pelajar.
Bobbey menegaskan sokongan penuh terhadap hasrat murni RUU Pendidikan (Pindaan) 2025, namun menuntut agar pelaksanaannya adil, inklusif dan tidak membebankan rakyat yang serba kekurangan, khususnya di kawasan pedalaman.
“Kita mesti memastikan pelaksanaan dasar ini mengambil kira realiti sosioekonomi Sabah, memperkukuh infrastruktur luar bandar, mengurangkan tekanan kos sara hidup, dan menjadikan keselamatan pelajar sebagai keutamaan,” katanya sambil menyeru agar sebarang pindaan undang-undang dibahaskan dengan teliti supaya tidak menghukum mereka yang lemah.