
SANDAKAN: Tiga keluarga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum kini mampu menarik nafas lega apabila menerima rumah baharu di bawah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), inisiatif kerajaan negeri untuk membantu rakyat termiskin di Sabah.
Penyerahan kunci rumah tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam, dalam satu majlis ringkas di tiga kampung terlibat iaitu Kampung Sungai Kapor, Kampung Kitagas dan Kampung Garinono.
Mereka yang menerima manfaat program ini ialah Amandi bin Asmat, Saharudin Abdul Kadir serta Sanah @ Kasema binti Saat. Ketiga-tiga rumah berkenaan dibina oleh kerajaan dengan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) selaku agensi pelaksana projek.
Datuk Jaffari berkata, penyerahan rumah itu adalah bukti komitmen kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Program Rumah Mesra SMJ ini adalah satu usaha nyata kerajaan untuk memastikan rakyat yang memerlukan mendapat tempat tinggal yang lebih selesa, selamat dan teratur. Dengan adanya rumah baharu ini, penerima dapat memulakan kehidupan dengan lebih baik bersama keluarga masing-masing,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, Program Rumah Mesra SMJ telah dilancarkan oleh Ketua Menteri pada tahun 2022 di Kuala Penyu sebagai sebahagian daripada teras ketiga Hala Tuju SMJ 1.0 yang menekankan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.
Projek ini dilaksanakan di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Majlis Perbandaran Penampang (MPP), Pejabat Daerah serta Pejabat Daerah Kecil.
Jaffari berkata, kejayaan membina dan menyerahkan rumah kepada rakyat termiskin di Gum-Gum adalah hasil kesungguhan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memperluaskan pelaksanaan program ini ke seluruh Sabah agar lebih ramai rakyat dapat merasai nikmat pembangunan yang seimbang.
“Kita mahu setiap rakyat Sabah, tanpa mengira latar belakang dan lokasi, menikmati manfaat pembangunan. Rumah Mesra SMJ ini bukan sekadar rumah, tetapi lambang kepedulian kerajaan terhadap rakyat,” jelasnya.
Majlis penyerahan itu turut disaksikan oleh Encik Ronny Andrew Ipo, Penolong Jurutera Jabatan Pembangunan Luar Bandar MPS, pemimpin masyarakat setempat serta ahli keluarga penerima rumah yang jelas gembira dengan bantuan berkenaan.