
Pitas: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengumumkan tambahan 10 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada golongan belia yang baru mendirikan rumah tangga mulai tahun depan.
Katanya, tambahan itu menjadikan sebanyak 50 unit Rumah Mesra SMJ akan dibina di setiap kawasan DUN mulai tahun depan berbanding sebanyak 40 unit pada tahun ini.
“Dulu hanya ada empat atau lima buah rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin), tapi tahun ini kita bagi 40 buah Rumah Mesra SMJ dan tahun depan kita usaha sebanyak 50 unit di setiap DUN untuk rakyat yang susah.
“Tambahan sebanyak 10 unit itu adalah untuk orang muda yang susah dan baru berkahwin kerana faham ada anak muda yang baru berkahwin masih tinggal di rumah keluarga,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) Kampung Takadi sini pada Sabtu.
Mengenai projek perumahan dan kedai LPPB di Kampung Taka, beliau yakin ia bakal menjadi sebuah projek yang akan memberi impak besar kepada masyarakat di Pitas, sekaligus menyediakan peluang pekerjaan, malah membuka ruang kepada kegiatan perniagaan serta perkhidmatan yang bakal memberi faedah kepada seluruh lapisan masyarakat.
Katanya, paling penting, projek itu juga memberi peluang kepada masyarakat untuk memiliki rumah sendiri, sekali gus membuktikan kesungguhan, keikhlasan serta keprihatinan kerajaan dalam usaha untuk membangunkan kawasan luar bandar.
“Saya dimaklumkan bahawa projek ini bakal melibatkan pembinaan sebanyak 320 unit rumah – iaitu unit rumah berkembar setingkat dan unit rumah teres setingkat. Projek ini yang akan didirikan di atas tanah seluas 37.60 ekar milik LPPB juga mempunyai 171 unit kedai yang terdiri daripada unit kedai atau pejabat dua tingkat, superstore, showroom dan kiosk.
“Saya berharap projek melalui usahasama kerajaan dan swasta ini dapat dilaksanakan secara teratur, mengikut jadual, dan menepati perjanjian yang telah dimeterai, sekali gus memenuhi keperluan masyarakat.
“Ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri hari ini yang mahu apa juga pembangunan untuk rakyat dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Sebab itu, kerajaan negeri juga amat mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dalam melaksanakan projek pembangunan.
“Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan kerajaan, malah membolehkan sumber kewangan kerajaan difokuskan kepada pembangunan sosio ekonomi dan infrastruktur lain demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan pembangunan mana-mana daerah di negeri ini, termasuk di Pitas, malah, sejak lima tahun lalu pelbagai projek dibawa untuk membangunkan dan memajukan daerah ini.
Pada majlis itu, Hajiji turut mengumumkan kelulusan untuk membina mini kompleks sukan Pitas, selain pembinaan terminal bas awam dengan kos RM1 juta dan pembinaan rumah budaya di Dataran Pitas bernilai RM1.4 juta.
Hajiji turut memberi perhatian terhadap projek ternakan udang dengan kerjasama Yayasan Sabah dan sebuah syarikat yang terbangkalai agar dapat dihidupkan semula untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan ekonomi kepada rakyat Pitas.
Katanya, beliau juga akan berbincang dengan SAFODA berhubung sebidang tanah yang dimohon oleh rakyat supaya dikeluarkan dari kawasan agensi kerajaan negeri itu di Pitas.
Dalam majlis sama, Hajiji turut menyerahkan sebanyak 468 geran tanah melibatkan keluasan 1,273.432 hektar kepada para penerima, terdiri daripada 228 geran tanah dibawah Program Pengkuran Anak Negeri (Pantas) dengan keluasan 863.735 hektar, 239 geran tanah bagi permohonan tanah (NT) dengan keluasan 406.11 hentar dan 1 geran tapak Balai Polis Pitas dengan keluasan 3.587 hektar.