TAWAU : Seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan ringan selepas sebuah rumah atas air di Kampung Hidayat, Tawau runtuh sepenuhnya awal pagi tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 3.11 pagi, sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 8 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK I Sulaiman Md. Salleh, memaklumkan bahawa sebaik tiba pada 3.18 pagi, pasukan mendapati rumah berkenaan telah runtuh sepenuhnya ke dalam air.
Mangsa lelaki dewasa yang mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki diberi rawatan awal oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Pasukan bomba turut menasihatkan penghuni rumah berhampiran agar mengosongkan kediaman mereka buat sementara waktu bagi mengelakkan sebarang risiko kejadian susulan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.10 pagi setelah keadaan disahkan selamat dan terkawal.
