
SANDAKAN : Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya merampas rokok seludup dan minyak haram bernilai hampir RM360,000 dalam dua serbuan berasingan di sekitar Sandakan.
Dalam serbuan pertama yang dijalankan di sebuah rumah di Taman Indah Jaya, Batu 4, pada jam 8.30 malam semalam, PPM Sandakan bersama Unit Gempur Marin menemui sebanyak 90,800 batang rokok yang disembunyikan di dalam bekas plastik.
Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan. Rampasan itu dianggarkan bernilai RM129,618 dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Dalam serbuan berasingan pula, Unit Risikan Markas PPM Wilayah 4 menyerbu sebuah gudang minyak haram di Jalan Batu 27. Ketika operasi dijalankan, suspek dipercayai sedang memindahkan minyak dari tong simpanan sementara ke dalam lori tangki untuk dipasarkan kepada sindiket.
Dua lelaki tempatan berusia 26 hingga 66 tahun ditahan, manakala nilai rampasan dalam operasi tersebut dianggarkan RM228,935. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited dalam usaha membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.