
SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya merampas 87,200 batang rokok pelbagai jenama dalam satu operasi di Kampung Sinar Baru Batu 12, semalam.
Kejadian berlaku sekitar jam 11.04 pagi apabila sebuah kenderaan ditahan selepas diekori anggota PPM kerana disyaki menjalankan aktiviti perniagaan rokok seludup.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, rampasan itu dibuat hasil maklumat yang diterima daripada orang awam. Menurutnya, pemeriksaan mendapati rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM174,700.
“Selain rokok, kenderaan terbabit turut dirampas namun pemiliknya sempat melarikan diri. Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah penyeludupan.
“PPM Wilayah 4 Sabah komited membanteras penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.