
KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik@Nordin mengambil langkah segera dengan menubuhkan pasukan kecemasan bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir di beberapa kampung sekitar Bingkor, semalam.
Pasukan khas itu dianggotai 30 orang daripada Pejabat ADUN N.40 Bingkor, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Persatuan Pengerak Masyarakat Keningau serta Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor.
Ia diketuai oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor, Junior Fred bersama Ketua Staf ADUN Bingkor, Diana Basir.
Hujan lebat berterusan sejak pagi kelmarin menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air hingga menenggelami rumah, sawah padi dan merosakkan jalan kampung, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa terlibat dan memberi jaminan pihaknya akan terus turun padang bagi memastikan bantuan segera disalurkan.
“Saya telah mengarahkan semua kakitangan untuk menemui penduduk yang terjejas bagi menyalurkan bantuan segera. Saya juga meminta pihak berkuasa berkaitan mempercepatkan kerja baik pulih jalan kampung serta tebing sungai yang rosak kerana kemudahan ini sangat penting bagi penduduk,” katanya.
Beliau menegaskan, kebajikan rakyat Bingkor akan sentiasa menjadi keutamaan, selain memastikan segala keperluan asas penduduk dapat dipulihkan dengan segera.