KOTA KINABALU: Mantan Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah yang juga bekas Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik, menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang disifatkannya sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan berwawasan membawa kestabilan serta kemajuan kepada negeri ini.
Robert berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Hajiji di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, semalam.
“Tujuan saya tidak lain adalah untuk menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Hajiji yang sentiasa berusaha membawa kestabilan dan kemajuan untuk Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Robert turut menyeru rakyat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor agar terus bersatu dan memberikan kepercayaan kepada kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah yang bakal tiba.
“Saya menyeru semua rakyat, khususnya di kawasan DUN Bingkor, supaya terus bersama dan memberikan sokongan kepada calon GRS yang akan diumumkan esok”, katanya.
Menurut beliau, kestabilan politik adalah asas kepada kemajuan Sabah dan hanya dapat dicapai melalui perpaduan rakyat di bawah satu gabungan yang kukuh dan berpaksikan kepentingan negeri.
Robert yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk Bingkor atas sokongan berterusan yang diberikan kepadanya selama ini, sambil menegaskan perjuangan membangunkan kawasan luar bandar dan menjaga kebajikan rakyat akan terus diteruskan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Bingkor yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan kepercayaan. Bersama kita pastikan suara rakyat Bingkor terus kuat, dan perjuangan untuk Sabah terus maju ke hadapan,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan GRS bukan hanya tentang politik, tetapi tentang masa depan rakyat dan kemajuan negeri Sabah secara keseluruhan.
