
KENINGAU: Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin, menzahirkan rasa syukur apabila tahap kesihatannya kini semakin pulih, sekali gus bersedia untuk kembali menunaikan amanah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor dan anggota pentadbiran negeri.
Robert, yang juga Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), berkata beliau bertekad untuk memberi fokus sepenuhnya dalam memastikan pembangunan serta kesejahteraan rakyat Bingkor terus terjamin.
“Saya amat berterima kasih kepada semua yang mendoakan saya, khususnya keluarga, rakan-rakan dan seluruh warga Bingkor yang memberikan sokongan moral dan emosi sepanjang tempoh pemulihan. Saya akan kembali bekerja dengan lebih kuat demi rakyat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, serta Timbalan Ketua Menteri I yang juga Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, atas kepercayaan, sokongan dan doa yang sentiasa diberikan.
Robert berkata demikian ketika menerima kunjungan Dr Jeffrey di Bingkor baru-baru ini.
Dalam pada itu, Robert menegaskan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi DUN Bingkor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
Katanya, jentera pilihan raya STAR di Bingkor kini sudah berada dalam keadaan siap siaga dengan pembentukan 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh kawasan DUN berkenaan.
“Semua PDM telah dibentuk lebih awal dan bersedia digerakkan bila-bila masa selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Sekretariat Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) juga kini aktif melalui BMBR 2.0 bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan di kawasan ini,” jelasnya.
Menurutnya, mandat rakyat di Bingkor adalah tanggungjawab besar yang akan terus dipikul demi memastikan visi pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan secara berterusan.