 
        KOTA KINABALU: Mantan Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Robert Tawik, menyeru ahli dan penyokong parti itu agar terus memberi sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, demi mengekalkan kestabilan politik dan kemajuan negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor itu berkata, walaupun beliau menghormati keputusan STAR untuk bertanding secara solo pada PRU akan datang, keutamaan ketika ini ialah memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan yang telah dicapai di bawah kerajaan GRS sejak 2020.
“Kestabilan yang dikecapi lima tahun lalu membawa banyak kemajuan kepada Sabah. Rakyat tidak boleh mempertaruhkan masa depan negeri ini kepada ketidaktentuan baharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Robert berkata, sebelum penubuhan GRS, Sabah berdepan suasana politik tidak menentu, namun keadaan kembali stabil apabila parti-parti tempatan bergabung di bawah satu gagasan.
Katanya, kestabilan itu membolehkan kerajaan negeri merangka dasar pembangunan lebih tersusun menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) serta menarik pelaburan besar ke negeri ini hasil kepimpinan berhemah Hajiji.
“Kestabilan politik membolehkan kerajaan fokus kepada pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat, bukan berpolitik sepanjang masa. Ini bukti kepimpinan Hajiji yang matang dan berjiwa rakyat,” katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa STAR ‘dibuang’ daripada GRS, sebaliknya menjelaskan keputusan keluar daripada gabungan itu dibuat secara sukarela oleh kepimpinan parti berkenaan.
“Kita perlu bercakap berdasarkan fakta. GRS tidak membuang STAR, sebaliknya STAR memilih untuk keluar dan bertanding secara solo. Namun ramai ahli akar umbi STAR masih menyokong dasar-dasar kerajaan GRS kerana terbukti membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.
Robert turut memuji usaha kerajaan negeri memperkukuh pembangunan luar bandar menerusi projek kecil luar bandar, bantuan pertanian, serta naik taraf jalan kampung, bekalan air dan elektrik yang memberi kesan langsung kepada rakyat pedalaman.
“Di kawasan seperti Bingkor dan pedalaman Keningau, banyak projek infrastruktur kini dapat dilaksanakan hasil kestabilan politik dan pengurusan kewangan berhemah kerajaan GRS,” katanya.
Beliau yakin rakyat Bingkor dan penyokong STAR yang cintakan kestabilan akan terus bersama GRS demi masa depan Sabah yang lebih makmur.
“Saya percaya rakyat tahu menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk negeri ini. Sabah perlu terus maju di bawah kerajaan GRS dan kepimpinan Hajiji,” katanya.

 
         
         
         
        