
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik menyokong penuh cadangan mewujudkan Ordinan Anti Buli di Sabah atau dikenali sebagai “Zara Law” bagi menangani isu buli yang semakin membimbangkan di negeri ini.
Beliau berkata, sudah tiba masanya satu undang-undang khusus diwujudkan bagi mengekang gejala buli, bukan sahaja di sekolah dan institusi pendidikan, tetapi juga merangkumi jabatan kerajaan, tadika, tabika serta semua peringkat masyarakat.
“Budaya buli semakin meruncing sejak kebelakangan ini dan rakyat juga sudah membawanya ke jalanan melalui perhimpunan aman. Isu Allahyarham Zara sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa membuli adalah jenayah dan pelakunya wajar dikenakan hukuman setimpal,” katanya ketika mengulas cadangan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.
Robert menegaskan, isu buli tidak boleh lagi dipandang remeh atau dianggap kes terpencil kerana ia memberi kesan besar terhadap kesihatan mental mangsa, termasuk menimbulkan ketakutan ke sekolah, ponteng serta menjejaskan pencapaian akademik.
Katanya, tindakan lebih tegas diperlukan agar budaya negatif itu dapat dihentikan sebelum memberi kesan lebih parah kepada pembangunan modal insan di Sabah.
Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri itu, turut menyambut baik pandangan Dr Jeffrey bahawa sekiranya Kerajaan Persekutuan belum bersedia melaksanakan undang-undang anti buli, Sabah boleh mengambil langkah sendiri dengan menggubal ordinan khas melalui Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Sabah boleh mencadangkan ordinan ini di DUN pada masa akan datang dengan memperincikan segala aspek berkaitan buli sebelum digazetkan. Ini penting untuk melindungi generasi muda dan memastikan kejadian tragis seperti yang menimpa Allahyarham Zara tidak berulang,” katanya.