
KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri akan memperuntukkan kira-kira RM600,000 bagi membantu pekerja gig dalam sektor e-hailing membuka akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, setakat ini sebanyak 11,109 permohonan telah diterima daripada pekerja e-hailing untuk menyumbang kepada KWSP.
“Saya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM600,000 untuk membantu mereka (pekerja e-hailing) yang masih belum membuka akaun KWSP,” katanya ketika merasmikan Sabah Moto Day 8.0 di Padang Kawad, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.
Hajiji turut berpuas hati melihat perkembangan Sabah Moto Day yang terus berkembang pesat apabila berjaya menarik kehadiran kira-kira 60,000 penunggang motosikal dan peminat permotoran dari seluruh Sabah, Sarawak dan Brunei pada tahun ini.
Katanya, kehadiran ramai peserta dan pengunjung membuktikan aktiviti permotoran masih dekat di hati golongan belia serta masyarakat umum.
“Saya kagum melihat sokongan yang ditunjukkan oleh semua peserta, tanpa mengira umur, bangsa, dan agama, yang berkumpul dengan semangat serta minat yang sama.
“Kita harus melihat perhimpunan ini dari sudut positif kerana ia sedikit sebanyak menyumbang kepada penjanaan ekonomi negeri berikutan jumlah penyertaan dan kehadiran pengunjung yang ramai,” katanya.
Beliau turut menasihatkan peserta agar mengutamakan keselamatan di jalan raya dan berharap program berkenaan dapat meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan peminat motosikal dua roda.
Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri sentiasa menganggap belia sebagai aset penting, justeru pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi membangunkan modal insan.
Katanya, sejak 2021 hingga 2025, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM1.33 bilion, termasuk RM848.26 juta untuk bantuan pendidikan dan RM485 juta khusus bagi program pembangunan bakat serta kemahiran.