
TAWAU: Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM13.66 juta tahun ini bagi memastikan warisan budaya dan seni Sabah terus dipelihara, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kerajaan negeri akan terus mempergiat usaha bagi menambah baik pemeliharaan warisan budaya untuk terus memacu dan memperkasa industri pelancongan di negeri ini,” katanya semasa Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT).
Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Acara yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau malam ini turut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
“Saya yakin festival ini antara yang akan membawa impak besar terhadap sektor pelancongan dan ekonomi tempatan. Kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa sempena festival ini bukan setakat untuk mengenali khazanah budaya kita tetapi turut memberi limpahan rezeki kepada semua yang terlibat secara tidak langsung.
“Ini termasuk usahawan, pengusaha homestay, penggiat seni dan peniaga kecil, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat.
“Festival ini juga merupakan satu medium untuk mendidik generasi muda tentang kepentingan menjaga dan menghargai khazanah budaya yang tak ternilai,” katanya.
Ketua Menteri turut memaklumkan bahawa pembinaan Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (TICC), yang dijadualkan siap pada Disember 2027, sudah pasti akan menjadi hab kebudayaan dan pentas utama pertembungan seni serta warisan pelbagai etnik apabila siap kelak.
“Ini sekali gus akan melonjakkan Tawau sebagai pusat kebudayaan antarabangsa yang berdaya saing,” ujarnya.
Deasoka