
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata,Kerajaan Negeri telah memperuntukkan kira-kira RM10 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) bagi pelaksanaan pelbagai program untuk membangunkan, dan memperkasa pemimpin wanita berwibawa di negeri ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap pembangunan wanita di Sabah dan akan terus memastikan golongan wanita diberikan peluang serta faedah yang sama rata.
“Sehubungan itu, lebih ramai wanita telah dilantik untuk terlibat dalam pembentukan dasar dan pembuatan keputusan dalam pelbagai sektor, termasuk sektor perkhidmatan awam dan agensi kerajaan. “Saya berharap usaha pemerkasaan wanita seperti simposium ini dapat dilaksanakan secara berterusan dan terus mendapat sokongan daripada semua pihak, bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan komuniti setempat.
“Kita berharap dapat melahirkan generasi wanita Sabah yang berdaya tahan, berilmu, berkemahiran tinggi serta mampu memimpin bukan sahaja dalam komuniti mereka tetapi juga di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Simposium Pemimpin Wanita Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Ucapan beliau telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.
Ketua Menteri berkata, masih terdapat cabaran yang perlu ditangani, antaranya jurang peluang pekerjaan antara lelaki dan wanita, isu diskriminasi gender secara tidak langsung, serta halangan budaya dan persepsi masyarakat yang kadangkala membataskan potensi sebenar wanita.
Selain itu, cabaran untuk memastikan akses yang adil kepada pendidikan, latihan kemahiran dan peluang ekonomi juga menjadi keutamaan yang memerlukan perhatian berterusan daripada semua pihak, katanya.
Hajiji berkata, sebelum penganjuran simposium ini, program pemerkasaan wanita telah melalui beberapa fasa, termasuk program Engagement with Sabah Women’s Leaders yang diadakan pada 16 Jun 2025 dengan kehadiran 1,300 orang wanita.
Fasa seterusnya melibatkan bengkel Sabah Women’s Lab Fasa 1 yang disertai 300 peserta terpilih daripada 1,300 orang yang hadir pada program libat urus tersebut.
Semasa sesi Sabah Women’s Lab Fasa 2: Incubator Lab, katanya, proses penapisan dan pemilihan yang lebih kritikal telah dijalankan dan 75 peserta berjaya membentangkan projek serta kertas kerja masing-masing.
Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada peserta yang telah menamatkan keduadua fasa Sabah Women’s Lab kerana mereka akan dipilih sebagai peserta program khas pemerkasaan wanita, Global Women @ SABAH (GLOW@SABAH).
“Justeru, saya yakin Simposium Pemimpin Wanita Sabah yang diadakan selama sehari ini akan memberikan impak positif kepada semua wanita hebat yang hadir dan menyertai program ini,” katanya.
Disertai kira-kira 3,000 wanita dari seluruh Sabah, tumpuan utama simposium ini adalah kepada tiga bidang utama iaitu pendidikan, ekonomi dan kepimpinan (politik) sejajar dengan Dasar Wanita Negara