
TAWAU : Gagal memujuk kenalan baharunya ke hotel, seorang remaja lelaki bertindak mencabul dan memukul seorang pelajar perempuan dalam kejadian di kawasan kedai di Jalan Kuhara, minggu lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, suspek berusia 17 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau kira-kira jam 4 petang semalam di tepi Bangunan Eastern Plaza, Jalan Kuhara.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 7 Ogos lalu, kira-kira jam 4 petang, apabila mangsa berusia 18 tahun berjumpa dengan suspek di kawasan kedai selepas berkenalan melalui telefon. Suspek kemudian mengajak mangsa ke hotel, namun ajakan itu ditolak.
“Suspek bertindak agresif dengan memaksa serta menumbuk mangsa di bahagian lengan dan perut sehingga menyebabkan lebam serta kesakitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tangkapan itu turut membawa kepada rampasan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux beserta kunci kereta yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
Suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Champin turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika berurusan dengan individu yang baru dikenali dan segera membuat laporan polis sekiranya menjadi mangsa jenayah.