
TAMBUNAN: Golongan peladang dari Sabah, Sarawak dan Labuan merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar campur tangan segera dalam menyelesaikan isu dasar yang menghalang mereka yang berusia 70 tahun ke atas daripada memegang sebarang jawatan kepimpinan dalam pertubuhan peladang, walaupun mereka merupakan pemegang saham yang sah.
Menurut Pengerusi Pertama Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS), Cyril P. Yansalang, sekatan tersebut amat mengecewakan kerana ia mengetepikan hak dan suara ahli veteran yang telah lama menyumbang dalam pembangunan sektor pertanian sejak usia muda.
“Kami ini ahli dan pemegang saham sah dalam pertubuhan peladang, namun apabila mencecah usia 70 tahun, kami tidak dibenarkan menjadi ketua unit kampung atau ahli jemaah pengarah peringkat kawasan, negeri mahupun kebangsaan.
“Apa gunanya kami melabur dan menyumbang sejak muda jika akhirnya kami dinafikan hak mengurus dan menjaga harta yang kami miliki bersama?” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau percaya Perdana Menteri yang terkenal sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan prihatin terhadap nasib golongan luar bandar pasti dapat mencari penyelesaian sewajarnya bagi membela kebajikan para peladang, terutamanya di Borneo.
Cyril turut menyatakan harapan agar Anwar
dapat membuat satu pengumuman penting sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang akan dirasmikan oleh beliau di Kota Kinabalu, demi memperkasakan kembali suara serta peranan peladang di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Kami percaya PMX akan mendengar suara kami peladang-peladang kecil dari luar bandar yang saban tahun menyumbang kepada keterjaminan makanan negara, namun sering kali terpinggir daripada penggubalan dasar,” katanya.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap status Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang menurutnya masih digantung perlembagaannya sejak sekian lama, menyebabkan tiada pemantauan berkesan terhadap pengurusan dan pelaburan yang melibatkan kepentingan ahli.
“Kami khuatir, tanpa pengawasan telus daripada pemegang saham, wujud risiko penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan dana pelaburan. Justeru, kami menyokong sepenuhnya usaha kerajaan Madani untuk membersihkan negara daripada rasuah dan salah guna kuasa, termasuk jika ia berlaku dalam institusi peladang sendiri,” tegasnya.
Menurut beliau, jika terbukti berlaku salah laku oleh mana-mana pemimpin, pengurus atau pegawai dalam pertubuhan peladang atau agensi kerajaan berkaitan, tindakan undang-undang wajar diambil tanpa kompromi demi memulihkan integriti dan kepercayaan ahli.
Cyril turut mengemukakan tiga tuntutan utama mewakili suara akar umbi peladang untuk perhatian Perdana Menteri iaitu;
Libat Urus Akar Umbi dalam Penggubalan Dasar: Membuka ruang lebih luas kepada ahli peladang sebagai suara utama dalam perbincangan dasar yang digubal agensi kerajaan, memandangkan kebanyakan dasar sedia ada tidak mengambil kira realiti dan keperluan sebenar peladang di lapangan.
Tingkat Peruntukan kepada Pertubuhan Peladang: Memohon penambahan peruntukan kepada pergerakan pertubuhan peladang di seluruh negara agar manfaatnya sampai terus kepada ahli individu yang membantu negara dalam pengeluaran makanan dan hasil pertanian.
Peruntukan Terus kepada Sabah, Sarawak dan Labuan: Menggesa agar peruntukan pembangunan pertanian untuk Borneo disalurkan secara langsung kepada kerajaan negeri masing-masing, bagi mengelakkan kelewatan akibat birokrasi pusat serta mempercepat pembangunan sektor pertanian secara menyeluruh.
Beliau yakin dengan iltizam kerajaan Madani yang mengutamakan keadilan sosial dan pembangunan seimbang, permintaan golongan peladang dari Borneo akan mendapat perhatian sewajarnya daripada Perdana Menteri.
“Kami tidak meminta lebih. Kami cuma mahu hak kami sebagai pemilik dan penyumbang kepada sektor ini diiktiraf. Suara peladang luar bandar perlu didengar dan diberikan tempat dalam sistem yang membabitkan masa depan makanan negara,” ujarnya.
Deasoka