KENINGAU: Sokongan parti-parti tempatan di luar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap pembentukan Kerajaan GRS–Perpaduan disifatkan sebagai satu keputusan politik yang berani, jelas dan tidak wajar dipertikaikan kerana berpaksikan kepentingan Sabah serta kestabilan negeri.
Jurucakap GRS Pusat Daerah Mengundi (PDM) Keningau Station, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik@Charles, berkata sokongan berkenaan membuktikan kematangan politik apabila kepentingan rakyat dan masa depan negeri diletakkan mengatasi kepentingan politik sempit, sentimen peribadi serta agenda tersembunyi pihak tertentu yang cuba menggugat keharmonian politik Sabah.
Menurutnya, pendirian itu juga menjadi mesej tegas bahawa rakyat Sabah menolak politik kacau-bilau, percaturan songsang serta sebarang usaha untuk menggugat kerajaan negeri yang sah.
“Ini adalah mesej politik yang keras dan nyata. Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil, fokus bekerja serta konsisten melaksanakan agenda pembangunan demi kesejahteraan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, Kerajaan GRS–Perpaduan memiliki mandat dan legitimasi yang kukuh untuk terus mentadbir Sabah, selain melaksanakan dasar serta agenda pembangunan negeri tanpa tunduk kepada tekanan atau percubaan mana-mana pihak yang cuba memecah-belahkan kesepaduan politik sedia ada.
“Sokongan padu ini telah menutup ruang kepada sebarang percubaan untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri. Kerajaan GRS–Perpaduan akan terus mara ke hadapan, bekerja tanpa kompromi demi kepentingan rakyat dan masa depan Sabah,” tegasnya.
Yazid berkata, kesepakatan politik yang terbentuk bukan sekadar simbolik, sebaliknya menjadi asas kukuh kepada pembinaan kerjasama politik yang tegar dan tidak mudah digoyahkan, sekali gus memastikan agenda pembangunan, kebajikan rakyat serta kemajuan ekonomi Sabah dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah tanpa mengira bangsa, kaum dan agama agar terus bersatu padu serta memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dan Kerajaan GRS–Perpaduan bagi memastikan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa gangguan politik.
Menurutnya, adalah penting untuk memberi ruang sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri menumpukan perhatian terhadap pelaksanaan agenda pembangunan, pemerkasaan ekonomi, kebajikan rakyat serta usaha mengekalkan kestabilan politik, tanpa dibebani polemik dan percaturan politik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat.
“Sabah tidak memerlukan politik kebisingan dan perbalahan berpanjangan. Apa yang diperlukan ialah sokongan padu, disiplin politik dan kesepaduan rakyat supaya agenda SMJ 2.0 dapat direalisasikan secara menyeluruh demi masa depan negeri dan generasi akan datang,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Sabah memerlukan sebuah kerajaan yang kuat, bersatu dan berani membuat keputusan strategik demi kepentingan negeri, bukannya kerajaan yang lemah atau terikat dengan politik perpecahan yang hanya merugikan rakyat.
