
KOTA KINABALU: Serangan bertali arus pembangkang terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan melemahkan semangat kerajaan negeri untuk terus berkhidmat.
Aktivis politik Pro-GRS Aksyah Haji Nasrah berkata, tindakan pembangkang yang cuba menggambarkan seolah-olah tiada kejayaan dilaksanakan kerajaan hanyalah strategi politik murahan, terutama ketika Sabah berada di ambang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
“Sindiran, hinaan dan fitnah cuba diperlihatkan seolah-olah benar belaka. Sedangkan rakyat lebih bijak menilai, mereka tahu kerajaan hari ini bekerja untuk mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau yang juga mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah berkata, naratif yang dibawa pembangkang tidak jauh berbeza dengan pendekatan lama yang digunakan Parti Warisan ketika menumbangkan Barisan Nasional (BN) Sabah suatu ketika dahulu.
Bagaimanapun, jelasnya, pendekatan berasaskan persepsi itu tidak akan mempengaruhi rakyat kerana kini mereka lebih matang, khususnya generasi muda yang lebih berpandangan positif terhadap dasar kerajaan.
“Masalah tiga serangkai bukan perkara baharu, namun rakyat melihat ada perubahan apabila projek infrastruktur mula berjalan dengan lebih baik berbanding sebelum ini. Golongan muda lebih pintar menilai berbanding pemimpin pembangkang yang sudah lama berpolitik,” katanya.
Menurut Aksyah, dasar kerajaan negeri seperti program Rumah Mesra SMJ, inisiatif SYUKUR serta pelbagai usaha memperkasa pendidikan anak Sabah, jelas memberi manfaat kepada rakyat dan sukar untuk dinafikan.
Dalam aspek ekonomi, katanya, meskipun dunia berdepan cabaran termasuk Amerika Syarikat, GRS tetap mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan dasar mesra pelabur, membangunkan taman perindustrian, serta menyediakan bantuan modal kepada peniaga kecil.
“Ini membuktikan kerajaan tidak hanya menunggu dan melihat, sebaliknya bertindak untuk memastikan ekonomi Sabah terus bergerak,” ujarnya.
Aksyah menegaskan bahawa dakwaan pembangkang kononnya kerajaan gagal sama sekali jelas bercanggah dengan fakta apabila hasil negeri saban tahun menunjukkan peningkatan.
Lebih penting, katanya, rakyat mahu mempertahankan GRS kerana ia berakar umbi tempatan dan mewakili aspirasi rakyat Sabah.
“Bermula daripada GRS, Sabah dihormati dan banyak perkara menyentuh hak Sabah terutama dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat ditunaikan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan jentera parti agar terus bersatu hati, mendekati rakyat khususnya pengundi muda yang bakal menjadi penentu masa depan negeri.
Katanya, rakyat Sabah kini berada dalam mood menyokong parti lokal dan mahu kestabilan politik serta pembangunan mapan dikekalkan, berbanding terjebak dengan fitnah dan persepsi pembangkang.
“Kita biarkan saja hiruk-pikuk pembangkang. Yakinlah rakyat bersama kita. Mereka lebih sayangkan kestabilan berbanding politik emosi,” katanya.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan, Aksyah berkata keyakinan itu harus diperkukuh kerana rakyat Sabah mempunyai jati diri yang kuat dan tidak mudah dipengaruhi taktik politik lawan.