KENINGAU: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Keningau, Rafie Robert, menghulurkan sumbangan kewangan kepada Pusat Tahfiz Ar Rahmah Keningau bagi membantu pembiayaan tujuh pelajar yang terpilih menghadiri Majlis Konvokesyen Huffaz 2.0.
Pelajar terbabit ialah Muhammad Irfan Mohamad, Amirul Haziq Lahirul, Muhd Hamizan Hamzah, Iezzuddin Abdus Salam, Shahrul Akhbar Hisammudin, Nurul Nabilah dan Najmi Hakim Lahirul. Mereka akan diiringi Ustaz Hisammuddin Sulaiman serta Puan Noor Ain Mohd Tahir.
Majlis konvokesyen berkenaan dijadualkan berlangsung pada 31 Januari 2026 di Dewan Al-Bukhary, Kedah, dan akan disertai para huffaz dari seluruh negara.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Sekretariat BMBR, Garrett Patrick, yang mewakili Rafie Robert, kepada Tuan Guru Ustaz Hisammuddin Sulaiman, selaku Pengurus Pusat Tahfiz Ar Rahmah Keningau.
Rafie Robert berharap sumbangan berkenaan dapat meringankan beban pengurusan pusat tahfiz, selain menjadi pembakar semangat kepada para pelajar untuk terus cemerlang dalam bidang hafazan al-Quran serta mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Sementara itu, Ustaz Hisammuddin Sulaiman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Rafie Robert atas keprihatinan serta sokongan berterusan terhadap pembangunan institusi tahfiz dan pendidikan Islam di daerah Keningau.
