KOTA BELUD: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk Datuk Mohd Arsad Bistari menawarkan visi Era Baharu Tempasuk 2025-2030 (T30) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah ke-17.
Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Tempasuk itu berkata, T30 memfokuskan 7 teras pembangunan iaitu ekonomi, infrastruktur, sosial, pendidikan, agama, belia, dan governans, selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“T30 merupakan kesinambungan visi 5 tahun saya sebelum ini di DUN Tempasuk, Era Baharu Tempasuk 2020-2025.
“Intipati T30 ialah peningkatan kapasiti ataupun kemampuan penduduk Tempasuk untuk menerima pembangunan berimpak tinggi pada masa depan.
“Saya mahu membina masyarakat Tempasuk yang lebih maju dan berdaya saing dalam aspek ekonomi, pendidikan, taraf hidup serta mempunyai kemampuan mandiri yang tinggi sama seperti masyarakat di kawasan bandar besar.
“Ini selari dengan hala tuju SMJ yang digagaskan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor”, ujar beliau dalam satu kenyataan selepas penamaan calon di Kota Belud pada Sabtu.
Pada masa sama, berkongsi mengenai pengalaman sepanjang berkhidmat sebagai ADUN Arsad menyifatkan hubungannya dengan penduduk Tempasuk ibarat sebagai sebuah keluarga hasil perkhidmatan yang diberikan dengan rasa kasih dan sayang.
“Sepanjang 5 tahun memimpin Tempasuk, hubungan saya dengan penduduk Tempasuk ibarat sebagai sebuah keluarga.
“Dengan ‘hashtag’ Love Tempasuk, perkhidmatan yang saya dan pasukan berikan kepada penduduk Tempasuk datang dengan kasih sayang dan semangat kekeluargaan.
“Ini yang saya mahu kekalkan di Tempasuk seiring dengan slogan Silaturahim Kita Kekalkan, Tempasuk Kita Majukan. Saya merasa bahagia memimpin Tempasuk”, ujar Arsad.
Mengulas mengenai persaingan yang dihadapi daripada calon-calon yang bertanding di Tempasuk, Arsad berkata beliau mengalu-alukan persaingan sihat daripada calon lawan sambil mengatakan perkara itu merupakan sesuatu yang normal dalam pentas demokrasi.
