Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah 2025 dijangka menjadi medan paling sengit dalam sejarah politik negeri ini, dengan tiga zon utama , Pantai Barat, Pedalaman dan Sabah Timur,menampilkan corak pengundian serta keutamaan isu yang sangat berbeza.
Sabah bukan sekadar satu blok politik, tetapi tiga medan realiti yang membentuk denyut politik bumi di bawah bayu.
Di Pantai Barat, yang merangkumi kawasan seperti Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Tuaran, corak undi lebih pragmatik dan berasaskan isu ekonomi bandar.
Golongan muda, profesional serta kelas menengah bandar menjadi penentu hala tuju politik di zon ini.
Mereka menilai calon dan parti berdasarkan kredibiliti, ketelusan serta kemampuan menawarkan penyelesaian terhadap isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan harga rumah.
Parti yang mampu mempamerkan dasar ekonomi nyata serta kebolehpercayaan pentadbiran akan menguasai blok undi bandar ini.
Berbeza di zon Pedalaman seperti Keningau, Nabawan, Tenom dan Pensiangan, undi masih digerakkan oleh faktor pembangunan asas dan hubungan kekeluargaan politik antara calon dan rakyat.
Jalan berturap, bekalan air bersih dan capaian internet menjadi ukuran utama prestasi kerajaan.
Pengundi luar bandar tidak menilai berdasarkan manifesto di atas kertas, tetapi berdasarkan hasil nyata di lapangan.
Kegagalan menunaikan janji pembangunan boleh mengalihkan undi dengan pantas, walaupun kepada parti kecil yang lebih rapat dengan komuniti setempat.
Namun, tumpuan paling menarik kini beralih ke Sabah Timur, yang meliputi Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Zon ini menyaksikan peralihan tumpuan isu daripada keselamatan perairan kepada isu kemajuan dan ekonomi rakyat.
Masalah seperti jalan raya rosak, kekurangan kemudahan asas seperti air dan elektrik, serta nasib peneroka generasi kedua FELDA kini menjadi antara agenda utama yang membentuk sentimen pengundi.
Kekecewaan terhadap kelewatan pembangunan dan isu tanah FELDA yang berlarutan menjadi faktor yang boleh menggugat parti pemerintah jika tidak ditangani segera.
Di Lahad Datu dan Tawau misalnya, suara rakyat bukan lagi meminta jaminan keselamatan, tetapi jaminan kemajuan.
Mereka mahu jalan utama, jalan persekutuan dipulihara, penempatan untuk generasi kedua FELDA disediakan, dan peluang ekonomi dikembangkan melalui projek pertanian moden dan infrastruktur baharu.
Zon ini sedang berubah menjadi “barometer pembangunan sebenar” yang mengukur sejauh mana kerajaan benar-benar membawa kemajuan ke kawasan luar bandar Sabah.
Gabungan ketiga-tiga zon ini mewujudkan cabaran besar kepada mana-mana parti yang berhasrat menawan Sabah secara keseluruhan.
Tiada lagi ruang untuk strategi seragam.
Di Pantai Barat, calon mesti bercakap tentang ekonomi digital dan peluang pekerjaan.
Di Pedalaman, mereka perlu menunjukkan hasil pembangunan serta kemudahan asas.
Di Pantai Timur, naratifnya harus tertumpu pada isu tanah, infrastruktur dan juga kemudahan asas.
Strategi “satu mesej untuk semua” tidak lagi berkesan dalam landskap politik yang semakin matang ini.
Faktor calon tempatan pula semakin penting, pengundi kini menolak calon “import” yang hanya muncul ketika pilihan raya.
Mereka mahu wakil yang hidup bersama rakyat, memahami denyut nadi tempatan dan mampu bertindak cepat terhadap masalah komuniti.
Kesilapan meletakkan calon luar kawasan boleh menjadi bumerang politik yang mahal.
Akhirnya, PRU Sabah 2025 akan menjadi ujian kejujuran antara janji dan realiti.
Pengundi Sabah semakin menilai berdasarkan rekod, bukan retorik.
Mereka tidak lagi mencari siapa paling lantang di pentas, tetapi siapa paling konsisten menunaikan janji yang memberi makna kepada kehidupan harian.
Politik Sabah sedang bergerak ke era baharu iaitu era di mana pembangunan dan integriti menjadi ukuran sebenar kekuatan parti.
PENAFIAN:
Artikel ini ditulis berdasarkan analisis bebas dan tidak mewakili mana-mana parti politik.
Ia sekadar pandangan dan ramalan daripada pemerhati politik tempatan berdasarkan situasi semasa.
Penulis mempunyai pengalaman berkhidmat dengan ahli politik di Sabah dan telah bertugas sebagai wartawan sejak tahun 2010 hingga kini.
TINJAUAN POLITIK #DesaokaMemilihSabah2025
