
TAWAU: Kerajaan Negeri terus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan tenaga mampan menerusi pelancaran Projek Solar Berskala Besar (LSS) Q-Solar Tawau, yang dijangka menjana 15 megawatt (MWac) tenaga bersih menjelang penghujung 2026.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, projek berimpak tinggi di atas tapak seluas lebih 45 ekar itu dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara Qhazanah Sabah Berhad (QSB), Qhazanah Energy Sdn Bhd (QESB) dan QSolar Tawau Sdn Bhd (QSolar).
Katanya, projek solar itu selain menjadi pemacu utama kestabilan tenaga di kawasan Pantai Timur negeri ini, juga bukti iltizam berterusan Kerajaan Negeri dalam menyediakan ekosistem pembangunan mampan dan selari dengan usaha menjadikan Sabah sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui.
“Kita bukan hanya ingin menyelesaikan isu bekalan elektrik, terutama di Pantai Timur, tetapi berusaha membentuk masa depan tenaga yang lebih bersih, stabil dan berdaya tahan,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Solar Berskala Besar (LSS) Q-Solar (Tawau) Sdn Bhd di Jalan Timur, Kubota pada Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata, penjanaan tenaga 15 MWac daripada projek ini merupakan langkah konkrit ke arah penstabilan sistem grid Sabah yang ketika ini masih terlalu bergantung kepada penjanaan tenaga berasaskan diesel dan gas asli.
“Projek ini akan memperkukuh keupayaan sistem grid negeri, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api, dan dalam masa yang sama mengimbangi pengagihan tenaga antara Pantai Barat dan Pantai Timur,” katanya.
Hajiji berkata, pelaksanaan projek ini adalah sejajar dengan Pelan Induk Tenaga Negeri, iaitu Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SERAMP), yang menjadi kerangka hala tuju jangka panjang bagi transformasi sektor tenaga Sabah.
Menurutnya, pembangunan projek ini turut membawa limpahan manfaat ekonomi kepada komuniti setempat, bukan hanya dari aspek pembinaan dan pelaburan, malah melalui penciptaan peluang pekerjaan dan pembangunan kapasiti tempatan.
Katanya, fasa pembinaan, operasi dan penyelenggaraan ladang solar ini dijangka menjana pelbagai peluang pekerjaan, manakala kerja-kerja pembinaan dan perkhidmatan sokongan akan melibatkan kontraktor dan pembekal tempatan di Tawau.
“Anak-anak muda tempatan juga akan diberi latihan khusus untuk mengurus dan menyelenggara sistem solar ini. Ini membuktikan bahawa projek ini bukan bersifat sementara, tetapi bertujuan membina kapasiti tempatan jangka panjang,” katanya.