KOTA KINABALU : Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Jabatan Perdana Menteri, berjaya menghimpunkan lebih 2,000 peserta terdiri daripada penjawat awam, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), belia serta komuniti setempat sempena Program Rancakkan MADANI Sabah yang dijalankan pada hari ini.
Program ini menjadi wadah penting dalam memperkukuh kefahaman dan penghayatan terhadap gagasan Malaysia MADANI, yang berteraskan nilai-nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan tanggungjawab sosial demi membina masyarakat bersatu serta negara yang makmur. YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, dalam ucapannya menyatakan bahawa kepelbagaian kaum, budaya dan agama di Sabah mencerminkan kekuatan sebenar Malaysia yang berbilang bangsa.
“Kepelbagaian latar belakang bukan sebab untuk berpecah, sebaliknya asas untuk kita saling mengenal, memahami dan menghormati antara satu sama lain. Inilah semangat sebenar Malaysia MADANI,” katanya.
Penganjuran Rancakkan MADANI Sabah membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan nilai-nilai keadilan, kemampanan dan kesejahteraan benar-benar difahami dan diamalkan oleh seluruh lapisan masyarakat, termasuk di peringkat akar umbi dan Sabah mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor seperti pelancongan, pertanian moden, yang mampu menjadikan negeri ini tunjang kekuatan dan pemacu pembangunan negara.
Program ini turut menekankan kepentingan hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang bergerak sebagai satu keluarga dalam memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan secara menyeluruh serta inklusif demi memastikan keadilan dan kesejahteraan dinikmati oleh seluruh rakyat Sabah.
Turut sama hadir pada program ini, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, YB Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi, YBhg. Dato’ Seri Mohamad Fauzi bin Md Isa, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan YBhg. Dato’ Dr. Roslan bin Hussin, Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia.
