
Beaufort : Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Jabatan Veterinar berjaya merampas 232 kotak produk sejuk beku pelbagai jenama tanpa lesen dalam satu operasi di Jalan Tokong Cina, semalam.
Serbuan kira-kira jam 2 petang itu dilakukan selepas pihak berkuasa menerima maklumat awam mengenai kegiatan mencurigakan di sebuah rumah yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan produk sejuk beku tanpa kebenaran.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua produk sejuk beku berkenaan dianggarkan bernilai RM132,905.
“Kes ini disiasat di bawah Enakmen Haiwan 2015 kerana menyimpan produk sejuk beku tanpa lesen sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PPM Wilayah 4 akan terus mempergiat operasi dan tidak akan berkompromi dengan pihak yang terlibat dalam penyeludupan atau penyimpanan produk tanpa lesen.
“Kerjasama orang ramai amat penting bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan menyalahi undang-undang. PPM sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada komuniti demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.