KUNAK : Kawasan DUN63 Kunak antara kerusi yang turut menjadi perhatian ramai pemerhati politik dalam pilihanraya umum negeri (PRN) ke-17 yang akan diadakan pada 29 November ini.
Statistik semasa sehingga Ogos tahun ini seramai 24,870 pemilih berdaftar layak untuk mengundi bagi menentukan siapa wakil rakyat yang akan mereka pilih mewakili suara majoriti pengundi di kawasan itu.
Kunak merupakan daerah strategik dari segi kedudukannya di pantai timur Sabah kerana terletak di tengah-tengah antara tiga daerah iaitu Tawau, Lahad Datu dan Semporna.
Dikenali juga sebagai daerah pertanian dan industri, penduduk Kunak yang kini mencecah lebih 70,000 orang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan agama hidup dalam harmoni dengan keunikan budaya masyarakatnya yang berbeza bangsa dan etnik.
Jika dibandingkan dengan kawasan lain di pantai timur, Kunak turut merasai perubahan dari segi pembangunan walaupun ianya berjalan dengan agak perlahan berbanding daerah jiran yang lain.
Perubahan kepimpinan yang silih berganti sejak selepas pentadbiran kerajaan Berjaya pada tahun 1981, DUN Kunak pernah dipimpin oleh beberapa wakil rakyat termasuk daripada Usno, Barisan Nasional (BN – Umno), Parti Warisan dan sebelum ini Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Daripada 73 kerusi DUN di Sabah, Kunak dikatakan antara ‘kerusi panas’ di pantai timur yang akan menjadi perhatian ramai pemerhati politik dalam pilihanraya umum negeri PRN ke-17 ini dengan beberapa parti yang besar termasuk parti baharu dijangka menampilkan calon mereka untuk merebut kerusi itu.
Sering dilihat isu-isu yang berlegar sama ada di media sosial dan perbualan di ‘kedai kopi’ adalah bersifat dinamika yang kadang disokong dengan fakta atau hanya sekadar meraih perhatian.
Dengan suasana menjelang pilihanraya yang semakin rancak, tidak dinafikan kemunculan pelbagai platform media sosial yang kini menjadi akses setiap hari oleh masyarakat menjadikan sesetengah isu yang diketengahkan dan tidak didukung dengan fakta yang sahih hanya mengundang polemik politik.
Medium bebas seperti media sosial kini jadi alat komunikasi ‘berkempen’. Isu-isu yang diketengahkan penting menuntut seseorang individu membuat ‘pertimbangan emosi’ antara mengutarakan sesuatu hantaran dengan tergesa-gesa atau mengambil pendekatan menyelidik dan berhemah sebelum menyajikannya untuk sebaran umum. Isu atau perkara yang diketengahkan juga boleh memberi kesan terhadap ‘sokongan’ di atas kertas undi berdasar penilaian dan penerimaan pengundi.
“Media sosial dibaca semua peringkat umur. Boleh sahaja kita berbeza pandangan tetapi jangan terlalu emosional sehingga menjejaskan tingkat pandangan umum.. Berpolitik biarlah secara sihat dan matang..”, kata seorang politikus yang enggan dinamakan.
Perebutan sengit diramal berlaku di kerusi DUN63 Kunak dalam PRN17 ini dengan beberapa parti politik dijangka akan meletakkan calonnya bertanding di sini. Antaranya, Barisan Nasional (BN), Parti Warisan, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Impian Sabah (PIS), Perikatan Nasional (PN) dan kemungkinan calon bebas boleh sahaja muncul di waktu hari penamaan calon 15 November ini.
Dalam PRU ke-15 pada 2018 dan PRU -16 pada tahun 2020, DUN Kunak dimenangi oleh calon Parti Warisan Sabah (Warisan). Bagaimanapun, wakil rakyat kawasan itu beralih parti pada Februari 2023 dengan menyertai Gagasan Rakyat (PGRS) salah satu komponen dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini.
Isu-isu yang berlegar setiap kali pilihanraya umum juga dilihat tidak sama dan sering berubah, selain menjadi perbualan hangat dalam kalangan pengguna media sosial- IBRAHIM TABIR
