
SANDAKAN : UMNO menafikan khabar angin bahawa kepimpinan pusat akan menukar barisan pemimpin tertinggi UMNO Sabah seperti yang dikhabarkan sejak kebelakangan ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak pernah merancang untuk menukar sesiapa dan menyifatkan spekulasi itu hanyalah cubaan pihak tertentu untuk menggugat kekuatan parti.
“Dia bersama saya. Saya tidak pernah berniat untuk menukar sesiapa. Kenapa? Kamu semua yang mencadangkan dia patut ditukar? Kamu patut tanya mereka dari mana datangnya khabar angin itu. Mereka mahu memecah-belahkan kita kerana kita sekarang kukuh. Kita telah selesaikan semua masalah kecil dalam parti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan malam tadi yang turut dihadiri Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin serta pemimpin-pemimpin UMNO -BN dari seluruh Negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa Barisan Nasional telah memuktamadkan pembahagian kerusi dan struktur kerjasama dengan Pakatan Harapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang rundingan lain yang dibuat oleh Pakatan Harapan dengan pihak lain adalah di luar bidang kuasa Barisan Nasional.