
SANDAKAN : Parti Impian Sabah (PIS) sudah mengenal pasti calon di 61 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Presiden merangkap pengasas PIS, Michel Alok berkata, pihaknya berhasrat bertanding di semua 73 kawasan DUN atas permintaan akar umbi yang mahu melihat parti itu membawa perubahan di Sabah.
Katanya, beliau tidak dapat menolak permintaan tersebut kerana ia datang daripada rakyat sendiri yang mahu PIS mewakili kawasan mereka.
“Ramai pengundi di kesemua 73 bahagian mahu supaya Parti Impian Sabah ini bertanding di kawasan mereka. Kalau saya menolak permintaan itu, seolah-olah saya tidak mempedulikan mereka.
“Kita sudah ada calon, jentera pilihan raya dan pengundi yang mahu mengundi kita. Setakat ini, kita sudah ada 61 bahagian yang bersedia untuk menghadapi PRN ke-17 pada bila-bila masa,” katanya.
Michel berkata, PIS menawarkan kelainan berbanding parti lain dan percaya pengundi akan memberi peluang kepada mereka berdasarkan kepimpinan serta budaya parti yang disifatkannya bersih dan belum tercemar.
“Dengan adanya kepimpinan yang bersih, budaya yang bersih dan keistimewaan parti ini, saya percaya pengundi akan beri peluang kepada parti ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan keyakinan rakyat terhadap PIS semakin meningkat hasil siri turun padang yang memberi peluang kepada pihaknya menerangkan misi dan matlamat perjuangan parti.
Sebelum ini, PIS mengumumkan akan bertanding di semua 73 kawasan DUN pada PRN ke-17.