
KOTA KINABALU: Soal pembangunan dan kebajikan rakyat menjadi keutamaan meskipun terdapat kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada waktu terdekat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, meskipun kesiapsiagaan jentera parti politik berada di landasan tepat, namun fokus pihaknya tetap tidak beralih dalam mengutamakan agenda rakyat berbanding pelaksanaan pilihan raya.
Kata beliau, rakyat Sabah yang terkesan dengan banjir buruk baru-baru ini masih belum pulih sepenuhnya dan dengan itu, tanggungjawab tersebut perlulah dipikul bersama kerajaan pusat mahupun negeri.
“Jentera pilihan raya memang sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi.
“Namun bagi saya, soal paling penting pada waktu ini ialah rakyat dan kebajikan mereka. Kita perlu pastikan segala bentuk bantuan sampai dengan cepat dan berkesan. Misalnya, dalam isu banjir, fasa pertama bantuan telah pun dilaksanakan, tetapi kini fasa kedua mesti dipercepatkan bagi meringankan beban mangsa yang masih memerlukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Himpunan Temu Rapat Umum PKR, di Inanam, hari ini.
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan pusat memberi penekanan khusus terhadap usaha membasmi kemiskinan tegar yang masih wujud di beberapa kawasan, termasuk di Sabah.
Menurutnya, agenda membanteras kemiskinan bukan sekadar janji politik, tetapi merupakan komitmen berterusan yang perlu digerakkan agar tiada rakyat yang terus tercicir daripada arus pembangunan negara.
Beliau menambah, selain isu banjir dan kemiskinan, kerajaan turut menumpukan usaha memperkukuh sektor pendidikan, memperluas peluang pekerjaan, serta meningkatkan akses kepada kemudahan asas seperti kesihatan, perumahan dan infrastruktur.