
KOTA KINABALU:Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, dengan hari mengundi ditetapkan pada 29 November 2025.
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon akan diadakan pada 15 November, manakala pengundian awal dijadual pada 25 November.
Beliau memaklumkan perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR berhubung tarikh-tarikh penting PRN17 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, hari ini.
Menurutnya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan adalah daftar pemilih tambahan Ogos 2025, dikemas kini sehingga 5 Oktober 2025, melibatkan 1,784,847 pengundi berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Pada 6 Oktober lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Sabah mempunyai 79 kerusi DUN, dengan 73 kerusi dipertandingkan dan enam lagi dilantik.
Dalam PRN ke-16 lalu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ketika itu bersama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), serta disokong beberapa Ahli DUN Bebas, berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 41 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.
Sementara itu, Parti Warisan (Warisan) memperoleh 23 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi sembilan kerusi.