
Kempen Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN-17) kini memasuki fasa paling rancak dan panas,bukan sahaja di lapangan, tetapi lebih hangat lagi di gelanggang maya.
Medan media sosial menjadi medan perang baharu di mana strategi dan naratif politik diuji.
Setiap parti kini mengerah jentera perang saraf mereka, dari Facebook hingga TikTok, dengan satu matlamat,mempengaruhi persepsi dan menawan hati pengundi, khususnya golongan muda dan pengundi atas pagar.
Namun, di sebalik keghairahan itu, suasana politik digital Sabah kian membimbangkan.
Setiap posting politik seolah-olah medan tembak-menembak komen,ada yang datang dari akaun sebenar, namun tidak kurang pula akaun palsu yang dikendalikan cybertrooper.
Lebih parah, banyak komen melampaui batas,bahasa kesat, tuduhan liar, sindiran berunsur perkauman, serta fitnah yang tidak berasas menjadi “halal” dalam budaya siber politik kita.
Apa yang kononnya sekadar perang naratif, kini berubah menjadi gelanggang kebencian terbuka dan berpotensi menormalisasikan budaya buli siber.
Kita harus sedar bahawa politik bukan sekadar tentang menang undi, tetapi tentang membina keyakinan rakyat terhadap integriti calon dan parti.
Bila fitnah dan tohmahan dijadikan alat kempen, nilai perjuangan politik itu sendiri tercemar.
Dalam Islam, fitnah lebih dahsyat daripada membunuh dan malangnya, inilah yang sedang berleluasa di media sosial kita menjelang PRN Sabah.
Ia bukan sekadar mencalar reputasi seseorang calon, tetapi turut menjejaskan maruah dan keharmonian masyarakat.
Unit penerangan parti, jentera komunikasi strategik dan pengurus media sosial harus lebih matang dan bertanggungjawab.
Tugas mereka bukan semata-mata memenangi perang persepsi, tetapi memastikan mesej yang disampaikan bersih daripada fitnah dan berteraskan fakta.
PRN-17 bukanlah PRN terakhir, janganlah kerana terlalu ghairah mahu menang hari ini, maruah dan prinsip perjuangan tergadai untuk selama-lamanya.
Dalam politik, musuh hari ini boleh jadi rakan baik esok hari.
Maka berpada-pada dalam menyerang,jangan sampai kelihatan taksub sehingga menutup ruang rasional dan adab.
Kita juga harus ingat bahawa media sosial bukan ruang tertutup.
Setiap posting, setiap komen, diperhatikan ribuan mata yang mungkin tidak membalas atau memberi komen, tetapi mereka membaca dan menilai.
Tanggapan yang terbentuk dalam minda mereka boleh menjadi senjata dua mata ,sama ada menaikkan keyakinan atau menjatuhkan reputasi.
Maka, setiap perkataan yang dilemparkan di ruang maya bukan sekadar “posting biasa”, tetapi pantulan nilai akhlak dan maruah diri.
Politik seharusnya menjadi medan idea dan hujah, bukan pentas maki hamun dan fitnah.
Kita mahu pemimpin yang mampu berhujah dengan fakta, bukan yang menyorok di balik akaun palsu.
Pengundi muda hari ini semakin bijak menilai,mereka tidak lagi mudah diperdaya oleh serangan peribadi atau teori konspirasi tanpa bukti.
Justeru, siapa yang lebih berhemah dan rasional dalam mengurus komunikasi politik, dialah yang akan lebih dihormati dalam jangka panjang.
Akhirnya, kepada semua pemain politik ,ingatlah bahawa setiap kempen adalah ujian akhlak dan kematangan.
PRN Sabah bukan sekadar perlumbaan untuk menakluk kerusi, tetapi medan menilai siapa yang benar-benar layak memimpin rakyat dengan adab, integriti, dan akal budi.
Menang dengan fitnah bukanlah kemenangan, sebaliknya kekalahan moral yang memalukan.
Dalam politik seperti juga kehidupan, yang kekal bukan siapa yang paling kuat menjerit, tetapi siapa yang paling beradab ketika diuji.
PENAFIAN:
Artikel ini ditulis berdasarkan analisis bebas dan tidak mewakili mana-mana parti politik.
Ia sekadar pandangan dan ramalan daripada pemerhati politik tempatan berdasarkan situasi semasa.Penulis mempunyai pengalaman berkhidmat dengan ahli politik di Sabah dan telah bertugas sebagai wartawan sejak tahun 2010 hingga kini.
TINJAUAN POLITIK #DeasokaMemilihSabah2025