
Politik Sabah kini berada di persimpangan penting satu fasa peralihan yang memperlihatkan perubahan landskap kuasa daripada dominasi parti Semenanjung kepada kebangkitan semula entiti tempatan.
Di tengah arus peralihan itu, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) muncul sebagai simbol kebangkitan politik lokal yang menuntut autonomi lebih luas dan kestabilan pemerintahan negeri.
Namun, di sebalik momentum dan keyakinan, jalan menuju PRN-17 bukan tanpa ranjau.
Sabah kekal sebagai negeri yang paling sukar dijangka dalam politik Malaysia dan tidak ada satu parti pun yang boleh mendakwa laluan mereka benar-benar selesa.
Kebangkitan semula PGRS di bawah pimpinan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bukan hasil kebetulan, tetapi lahir daripada krisis politik pasca “Langkah Kinabalu”.
Dalam suasana kelesuan kepercayaan terhadap parti nasional, Hajiji membina kembali keutuhan politik Sabah berasaskan prinsip bahawa “Sabah mesti diperintah oleh anak negeri sendiri.”
Beliau berjaya menyatukan kelompok berbeza daripada bekas pemimpin UMNO dan BERSATU hingga ke tokoh bebas tempatan di bawah satu bumbung baharu.
Keupayaannya mengekalkan kestabilan negeri dalam keadaan politik yang sering bergolak memberi kelebihan tersendiri.
Walaupun berdepan tekanan pelbagai arah, Hajiji menampilkan imej seorang pentadbir sederhana dan pragmatik lebih fokus pada kerja berbanding konfrontasi.
Pendekatan ini, walaupun tidak flamboyan, memperkukuh keyakinan pengundi pertengahan bahawa Sabah memerlukan kepimpinan yang tenang dan berfungsi, bukan sekadar lantang dan sensasi.
Dalam kerangka Gabungan Rakyat Sabah (GRS), PGRS kini menjadi tulang belakang utama.
Ia bukan sekadar anggota gabungan, tetapi parti teras yang menentukan hala tuju dasar dan strategi politik negeri.
Di bawah pengaruh Hajiji, GRS berjaya membentuk hubungan strategik dengan Pakatan Harapan (PH) di Sabah, sesuatu yang jarang berlaku dalam sejarah politik negeri ini.
Kerjasama tersebut memperluas tapak sokongan GRS ke kawasan bandar dan kelas menengah, sekali gus mengimbangi kekuatan mereka di luar bandar.
Namun, kelebihan itu datang dengan risiko terlalu banyak bergantung kepada keseimbangan antara parti boleh menjadikan GRS rapuh jika berlaku perebutan kerusi atau konflik dalaman.
Dalam politik Sabah, gabungan mudah terbentuk, tetapi sama mudah pula berpecah.
Salah satu kelebihan PGRS ialah keupayaan membina jentera akar umbi dalam masa singkat.
Di banyak daerah, parti ini berjaya menubuhkan ratusan cawangan dan menarik penyertaan ribuan ahli baharu.
Naratif “politik tempatan yang memahami rakyat” menjadi senjata kempen utama menjelang PRN-17.
PGRS juga menggunakan tema pembangunan nyata sebagai teras kempen menekankan kestabilan ekonomi, pembinaan infrastruktur, dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Namun, keberkesanan naratif ini bergantung kepada sejauh mana rakyat benar-benar merasai hasilnya di lapangan.
Jika rakyat melihat perubahan hanya di atas kertas, lawan politik akan memanipulasi isu ini sebagai kegagalan pentadbiran Hajiji.
Sentimen luar bandar, khususnya di pantai timur dan pedalaman, masih sensitif terhadap isu asas seperti air, jalan raya, dan peluang pekerjaan.
Walaupun PGRS semakin kukuh, cabaran daripada Parti Warisan di bawah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masih signifikan.
Warisan masih mempunyai akar yang kuat di beberapa kawasan tradisi, terutamanya di pantai timur dan kawasan KDM.
Parti itu masih mampu menarik simpati pengundi yang melihat Warisan sebagai pelindung hak-hak Sabah, dan yang skeptikal terhadap gabungan besar seperti GRS-PH.
Shafie, walaupun berdepan cabaran dalaman, masih memiliki daya tarikan sebagai figura tempatan yang berkarisma.
Persoalannya kini adakah Warisan mampu menampilkan alternatif yang stabil dan meyakinkan selepas pergolakan 2020–2023?
Jika tidak, PGRS mungkin kekal sebagai pilihan lebih “selamat”, tetapi bukan tanpa ancaman.
Realitinya, tiada parti yang berupaya memerintah Sabah secara solo pada PRN-17.
Walaupun PGRS dan GRS dilihat mendahului, pembentukan kerajaan tetap memerlukan rundingan dan kerjasama politik baharu.
Parti seperti PBS, KDM, Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Impian Sabah (PIS) muncul sebagai kingmaker penentu arah pembentukan kerajaan selepas PRN.
Begitu juga calon bebas yang berakar kuat di daerah masing-masing boleh memainkan peranan penting dalam menentukan blok majoriti.
Hubungan baik GRS dengan PH di peringkat negeri memberi sedikit kelebihan, tetapi tidak cukup untuk menjamin majoriti dua pertiga. Dalam erti kata lain, politik Sabah kekal terbuka dan bersifat tawar-menawar selepas pilihan raya, bukan sebelum.
Persoalan sebenar selepas PRN-17 bukan sekadar siapa menang lebih banyak kerusi, tetapi siapa bersedia bekerjasama.
Adakah GRS akan mengekalkan pakatan dengan PH? Adakah Warisan sanggup membuka ruang perundingan baharu jika berlaku situasi tergantung?
Atau adakah parti-parti kecil seperti PBS dan KDM yang akan menjadi lidah penentu dalam membentuk kerajaan?
Politik Sabah pernah menyaksikan situasi serupa kerajaan terbentuk bukan atas dasar ideologi, tetapi keperluan menstabilkan negeri.
Maka, peluang terbuka kepada mana-mana pihak yang bijak berunding dan berstrategi selepas keputusan diumumkan.
Menjelang PRN-17, PGRS dan GRS memiliki kelebihan dari segi jentera, sumber, serta imej stabil di bawah Hajiji.
Namun, kelebihan itu tidak menjamin kemenangan mutlak.
Saingan Warisan tetap kuat, manakala undi pecah akibat pelbagai gabungan kecil boleh mengubah keputusan di banyak kerusi marginal.
Hakikatnya, kemenangan PGRS/GRS hanya akan bermakna jika mampu membentuk kerajaan stabil dengan mandat jelas dan kerjasama strategik pasca pilihan raya.
Tanpa itu, Sabah akan kembali ke kitaran lama kerajaan rapuh, sokongan goyah, dan kestabilan politik hanya bersifat sementara.
PRN-17 bukan sekadar medan perebutan kuasa, tetapi ujian kematangan politik Sabah.
PGRS, di bawah Datuk Seri Hajiji Noor, telah membina asas kukuh untuk muncul sebagai kuasa baharu negeri. Namun, realiti politik Borneo sentiasa kompleks dan tiada jaminan bahawa kekuatan hari ini akan kekal selepas keputusan diumumkan.
Yang pasti, masa depan politik Sabah tidak lagi bergantung kepada satu parti, tetapi kepada kebijaksanaan membina konsensus antara kuasa lokal.
Di situlah cabaran sebenar menanti selepas rakyat selesai memilih.
PENAFIAN:
Artikel ini ditulis berdasarkan analisis bebas dan tidak mewakili mana-mana parti politik.
Ia sekadar pandangan dan ramalan daripada pemerhati politik tempatan berdasarkan situasi semasa.Penulis mempunyai pengalaman berkhidmat dengan ahli politik di Sabah dan telah bertugas sebagai wartawan sejak tahun 2010 hingga kini.
TINJAUAN POLITIK #DeasokaMemilihSabah2025