
Selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan diumumkan oleh Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, kebanyakan parti politik mula menggandakan usaha mereka dalam menggerakkan jentera pilihan raya baik di alam nyata mahupun di alam maya.
Keadaan politik Sabah kembali hangat dengan pelbagai naratif dan strategi komunikasi yang dicipta bagi menambat hati pengundi, terutamanya pengundi muda dan atas pagar yang semakin kritikal dalam menilai prestasi dan keikhlasan calon serta parti.
Namun, berbeza dengan pilihan raya lalu, rakyat kini bukan lagi mudah dipengaruhi oleh serangan bersifat emosi atau propaganda semata-mata.
Pengundi Sabah dilihat semakin matang dan bijak dalam menilai, lebih cenderung kepada faktor prestasi dan kehadiran kepimpinan tempatan yang benar-benar bekerja untuk rakyat.
Dalam situasi ini, parti-parti yang gagal membaca denyut nadi masyarakat tempatan bakal berdepan kesukaran untuk mengekalkan pengaruh mereka.
Menariknya, PRN Sabah ke-17 kali ini turut menyaksikan kemunculan beberapa parti baharu yang cuba mencorak landskap politik negeri, antaranya Parti Impian Sabah yang menampilkan wajah baharu dengan misi memperjuangkan hak-hak rakyat.
Kehadiran parti-parti ini mencerminkan kebangkitan semangat politik lokal, namun sejauh mana ia mampu menembusi kubu tradisi masih menjadi tanda tanya besar.
Di sebalik kemunculan wajah-wajah baharu, Parti UMNO Sabah dilihat masih kekal sebagai antara entiti politik paling berakar di negeri ini.
Walaupun pernah melalui fasa kejatuhan dan perpecahan dalaman, kekuatan UMNO tidak boleh dinafikan begitu sahaja.
Ia masih memiliki struktur organisasi yang kukuh hingga ke peringkat cawangan dan bahagian, dengan jaringan penggerak yang meliputi seluruh pelusuk kampung, pekan, dan daerah.
Dalam konteks politik Sabah, UMNO ibarat naga yang berehat seketika bukan mati, hanya menunggu masa untuk menghembuskan api semangatnya kembali.
Banyak kawasan luar bandar masih menaruh kepercayaan kepada parti ini kerana jasa-jasa besar yang ditinggalkan selama berdekad lamanya, termasuk pembangunan infrastruktur, pendidikan, dan peluang ekonomi.
Walaupun wajah kepimpinan berubah, jenama “UMNO” masih sinonim dengan kestabilan dan kemampuan mentadbir.
Selain itu, UMNO juga masih mempunyai kelebihan tersendiri melalui kepimpinan karismatik di peringkat bahagian dan cawangan yang mampu menggerakkan jentera dengan disiplin tinggi. Tradisi setiakawan, pengaruh bekas pemimpin, dan semangat kekeluargaan dalam parti menjadi faktor penting yang membezakan UMNO dengan parti-parti baharu yang masih mencari tapak.
Bagi banyak pemerhati politik, kekuatan sebenar UMNO Sabah terletak pada “memori kolektif rakyat” generasi yang masih mengingati zaman kegemilangan pentadbiran parti itu ketika Sabah menikmati kestabilan dan limpahan pembangunan. Faktor nostalgia dan jaringan akar umbi inilah yang membuatkan UMNO masih “berbisa”, meskipun terpaksa berdepan persekitaran politik baharu yang lebih kompetitif.
Lebih penting, kedudukan UMNO di peringkat Persekutuan ketika ini turut memberikan kelebihan strategik kepada jentera parti di Sabah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), telah memberi pelbagai projek pembangunan rakyat serta dilaksanakan dengan tumpuan khusus kepada Sabah dan Sarawak.
Projek-projek seperti pembinaan jalan luar bandar, naik taraf bekalan air dan elektrik, serta pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) menjadi bukti nyata komitmen kerajaan Perpaduan yang dipacu UMNO dalam membantu rakyat di negeri ini.
Di peringkat negeri pula, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bersama barisan kepimpinan UMNO negeri dilihat aktif mendekati rakyat di pelbagai peringkat, dengan memberi tumpuan terhadap usaha memperkukuh kesejahteraan luar bandar.
Langkah ini dilihat bertujuan memastikan pelaksanaan dasar pembangunan luar bandar lebih menyeluruh, inklusif dan berimpak langsung kepada rakyat Sabah.
KKDW bukan sekadar menyalurkan dana, tetapi juga memastikan pelaksanaannya sampai ke peringkat komuniti termasuk melalui agensi seperti MARA, KEMAS dan RISDA yang aktif membuka peluang latihan, pendidikan serta ekonomi kepada penduduk luar bandar Sabah.
Langkah ini secara tidak langsung memperkukuh kembali keyakinan rakyat terhadap UMNO sebagai parti yang bukan hanya bersuara, tetapi juga bertindak.
Selain aspek pembangunan fizikal, kehadiran UMNO dalam kerajaan pusat turut membawa kelebihan politik yang ketara kepada negeri ini.
Ramai pemimpin tempatan menyedari bahawa untuk memastikan kesinambungan projek pembangunan dan peluang ekonomi, Sabah memerlukan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan.
Dalam hal ini, UMNO dilihat sebagai jambatan yang mampu menghubungkan suara rakyat Sabah terus ke Putrajaya, sesuatu yang sukar ditandingi oleh parti-parti baharu yang masih beroperasi secara terhad di peringkat negeri.
Oleh itu, walaupun gelanggang PRN ke-17 bakal menyaksikan pelbagai percaturan dan pakatan baharu, UMNO tidak boleh diketepikan dalam mana-mana analisis politik Sabah.
Taringnya mungkin tidak seganas dahulu, tetapi bisanya masih mampu menggugat mana-mana pihak yang memandang rendah kemampuan sebenar parti ini.
Oleh itu, walaupun gelanggang PRN ke-17 bakal menyaksikan pelbagai percaturan dan pakatan baharu, UMNO tidak boleh diketepikan dalam mana-mana analisis politik Sabah.
Dalam erti kata lain, UMNO Sabah masih berdiri teguh bukan kerana masa lalunya semata-mata, tetapi kerana akar perjuangannya masih hidup di hati ramai rakyat.
PENAFIAN:
Artikel ini ditulis berdasarkan analisis bebas dan tidak mewakili mana-mana parti politik.
Ia sekadar pandangan dan ramalan daripada pemerhati politik tempatan berdasarkan situasi semasa.
Penulis pernah berkhidmat dengan ahli politik Sabah dan bertugas sebagai wartawan sejak tahun 2010.
TINJAUAN POLITIK #DeasokaMemilihSabah2025