KINABATANGAN: Akar umbi Gabungan Rakyat Sabah kawasan Lamag dilaporkan mahu mengekalkan calon muda, Johainizamshah Johari, bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Lamag sekiranya landskap politik semasa kekal seperti sedia ada.
Menurut sumber dalaman, desakan itu berpunca daripada keyakinan akar umbi terhadap kesinambungan kepimpinan Johainizamshah serta penerimaan baik masyarakat setempat terhadap pendekatan politik belia yang dibawanya.
Johainizamshah yang juga bekas Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Lamag dilihat mempunyai kelebihan tersendiri hasil pemahaman mendalam terhadap isu tempatan, selain penglibatan langsung bersama penduduk di kawasan berkenaan sebelum ini.
Sumber itu menjelaskan, prestasi pilihan raya lalu di DUN Lamag tidak boleh dilihat sebagai penolakan mutlak pengundi terhadap calon GRS, sebaliknya lebih dipengaruhi oleh faktor sabotaj dalaman yang menyebabkan peralihan undi kepada calon bebas.
Keadaan itu akhirnya membuka laluan kepada kemenangan tipis calon Barisan Nasional, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dalam persaingan pelbagai penjuru.
“Ketika itu berlaku perpecahan undi. Namun selepas pilihan raya, semakin ramai pengundi sedar bahawa jika kekuatan digabungkan, keputusan mungkin berbeza,” kata sumber berkenaan.
Kesedaran tersebut, menurutnya, telah mencetuskan desakan berterusan daripada akar umbi dan penduduk Lamag yang mahu Johainizamshah diberi peluang kedua bagi menggalas cabaran mewakili GRS dalam usaha merampas semula kerusi DUN Lamag.
Bagaimanapun, sebarang keputusan rasmi berhubung pencalonan masih tertakluk kepada perbincangan dan keputusan kepimpinan tertinggi Gabungan Rakyat Sabah.
Penafian:
Berita ini ditulis berdasarkan sumber
