
SANDAKAN: Keprihatinan terhadap keperluan masyarakat terus dizahirkan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam, menyempurnakan Program Bantuan Khas dengan menyerahkan 100 set bakul makanan dan 40 keping zink kepada masyarakat Cina di Tadika Ming Chung, Batu 14, di sini semalam.
Majlis ringkas tetapi penuh makna yang diselaraskan oleh Ketua Masyarakat Cina N50 Gum Gum, Madam Fong Phui Kim itu
berlangsung dalam suasana mesra, dengan kehadiran penduduk setempat yang berterima kasih atas perhatian pemimpin terhadap kebajikan rakyat.
Sumbangan yang disampaikan Jaffari itu bukan sahaja menyalurkan bekalan makanan asas kepada keluarga yang memerlukan, malah turut membantu penduduk kampung memperbaiki kediaman melalui pemberian zink.
Beliau menegaskan bahawa program bantuan khas seumpama ini akan diteruskan secara berperingkat, bagi memastikan lebih ramai rakyat di kawasan luar bandar dan pinggir bandar mendapat manfaat secara adil.
“Bantuan ini adalah simbol perhatian kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap rakyat. Mungkin kecil jumlahnya, tetapi cukup bermakna untuk mereka yang berdepan keperluan mendesak. Saya mahu rakyat tahu bahawa mereka tidak pernah dipinggirkan,” katanya.
Menurut Jaffari yang fasih berbahasa Mandarin, setiap lapisan masyarakat berhak menerima sokongan dan perhatian, tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.
Katanya, pendekatan inklusif ini penting untuk memastikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara di Sabah.
“Kesejahteraan rakyat adalah keutamaan saya. Sebagai pemimpin, saya bertanggungjawab turun padang dan mendengar sendiri keperluan masyarakat. Selagi diberi amanah, saya akan terus membela rakyat dengan apa cara sekalipun,” jelasnya.
Program itu turut mencerminkan usaha berterusan pemimpin negeri dalam menjalin hubungan erat dengan rakyat, sekali gus menyokong agenda pembangunan menyeluruh di Sandakan.
Dengan pelaksanaan bantuan khas berterusan, Jaffari menegaskan pihaknya mahu memastikan masyarakat di Gum Gum dan kawasan sekitarnya terus mendapat perhatian sewajarnya.
Penduduk kampung yang menerima bantuan melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan, malah ada yang menyifatkannya sebagai sokongan moral selain bantuan material.